Pengawal keselamatan maut digilis ketika balik kerja

PORT DICKSON- Seorang pengawal keselamatan maut dalam keadaan tragis apabila digilis dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 29 Lebuhraya Seremban-Port Dickson, pada Jumaat.
Kejadian jam 6.15 pagi itu berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Maslan Udin berkata, siasatan awal mendapati, motosikal ditunggang mangsa bergerak dari arah Seremban menuju ke Port Dickson.
"Sebaik sampai di lokasi, sebuah Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 23 tahun telah melanggar motosikal mangsa dari arah belakang.
"Mangsa yang terjatuh kemudiannya dilanggar pula oleh dua lagi kenderaan sebuah Grand Livina dipandu wanita 32 tahun dan Perodua Alza dipandu lelaki 36 tahun yang datang dari arah sama," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan mangsa cedera parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
Ujar beliau, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat cuai memandu.
"Siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mengesan saksi bebas, menunggu keputusan toksilogi dan laporan penuh bedah siasat," katanya.
Ends..
Ringkasan AI
- Seorang pengawal keselamatan maut digilis dalam kemalangan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson
- Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja
- Motosikal mangsa dilanggar dari belakang oleh sebuah Perodua Bezza
- Mangsa terjatuh dan dilanggar oleh dua lagi kenderaan
- Mangsa meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah pada kepala
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

