Banjir kilat dedah kelemahan sistem saliran ibu negara

Tipikal banjir kilat dengan paras air naik dalam masa kurang 30 minit selepas hujan memuncak. Foto Bernama
Tipikal banjir kilat dengan paras air naik dalam masa kurang 30 minit selepas hujan memuncak. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di ibu negara malam tadi memperlihatkan bagaimana hujan lebat berskala besar dalam tempoh singkat terus memberi tekanan kepada sistem saliran bandar raya, sekali gus menyebabkan limpahan air berlaku di pusat bandar dan kawasan rendah.

Hujan yang bermula sejak petang Khamis itu disusuli ribut petir serta pengumpulan awan cumulonimbus luar biasa, menjadi pencetus utama kepada limpahan air di laluan kritikal seperti Jalan Tun Razak menuju Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Jalan Sultan Azlan Shah serta beberapa kawasan berhampiran Sungai Klang.

Paras sungai turut dilaporkan melepasi paras bahaya sebelum air melimpah ke jalan raya.

Pemerhatian lapangan dan hantaran media sosial menunjukkan banjir melanda dengan cepat, tipikal banjir kilat dengan paras air naik dalam masa kurang 30 minit selepas hujan memuncak.

Visual dikongsi penduduk memaparkan arus deras di tepi jalan, kenderaan terkandas serta longkang besar melimpah, terutama di kawasan yang mempunyai sistem saliran tersumbat atau tidak mampu menampung aliran deras.

Berdasarkan rekod Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), terdapat sekurang-kurangnya 15 kawasan titik panas banjir kilat di seluruh Kuala Lumpur.

Pada Khamis malam, beberapa kawasan itu kembali menunjukkan tanda tekanan sistem saliran walaupun kerja pembersihan parit dan takungan air dilakukan secara berkala sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.

Pakatan faktor iaitu hujan lebat intensif, peningkatan kadar aliran permukaan (runoff) akibat pembangunan, serta kapasiti saliran terhad di lokasi tertentu menyumbang kepada keadaan banjir kilat malam tadi.

Hujan luar biasa yang melanda beberapa daerah serentak seperti Cheras, Gombak, Batu Caves dan Petaling Jaya turut meningkatkan jumlah air mengalir ke Kuala Lumpur dari kawasan hulu.

Artikel Berkaitan:

Fenomena itu juga menonjolkan keperluan memperkukuh sistem mitigasi banjir jangka panjang.

Walaupun beberapa projek tebatan dijalankan termasuk menaik taraf kolam takungan dan pam air, kejadian tersebut menunjukkan bandar raya masih terdedah kepada kejadian banjir kilat setiap kali berlaku hujan intensif melebihi kapasiti saliran.

MetMalaysia pula menjangkakan keadaan cuaca tidak stabil akan berterusan sepanjang malam, menandakan risiko kejadian berulang masih wujud.

Orang ramai disaran memantau amaran rasmi dan mengelak laluan yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Secara keseluruhan, kejadian banjir kilat yang terus berulang itu bukan sekadar respons kepada hujan lebat tetapi manifestasi cabaran struktur bandar raya yang memerlukan penyelesaian jangka panjang dan peningkatan keupayaan tindak balas pantas oleh pihak berkuasa.

Ringkasan AI

  • Kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur disebabkan oleh hujan lebat yang berlaku dalam tempoh singkat
  • Hujan disusuli ribut petir dan pengumpulan awan cumulonimbus menyebabkan limpahan air di beberapa kawasan kritikal
  • Paras sungai melebihi paras bahaya menyebabkan air melimpah ke jalan raya
  • Banjir kilat berlaku dengan cepat, dengan paras air naik dalam kurang 30 minit selepas hujan lebat
  • Faktor hujan lebat, peningkatan aliran permukaan dan kapasiti saliran yang terhad menyumbang kepada kejadian banjir kilat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!