Bandar Gaza berada di titik kritikal

BANDAR GAZA - Israel menambah kekuatan angkatan tentera mereka setelah askar simpanan dikatakan menyahut panggilan pemerintah untuk menyertai operasi menggempur Bandar Gaza setelah unit kereta kebal semakin mara.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan hampir sejuta penduduk Palestin telah meninggalkan kawasan tengah wilayah tersebut, di mana krisis kebuluran dilaporkan semakin kritikal.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memaklumkan kononnya ia telah siap siaga untuk melancarkan operasi itu termasuk pengerahan pasukan terbesar terdiri daripada 60,000 anggota simpanan.
Menteri Pertahanan, Israel Katz pada Selasa berkata, puluhan ribu askar simpanan telah meninggalkan keluarga masing-masing bagi menjayakan kempen untuk ‘menakluki’ Gaza tanpa menghiraukan kecaman komuniti antarabangsa.
Media di Tel Aviv melaporkan kira-kira 40,000 dipanggil untuk fasa pertama.
Ketika ini penduduk Palestin di Bandar Gaza berdepan ketidaktentuan dan sebahagiannya hanya berserah kepada takdir.
“Tiada tempat lagi untuk kami tuju dan tiada cara ke lokasi ditetapkan Israel. Kami sudah terlalu penat mental dan fizikal menghadapi peperangan selama hampir dua tahun,” ujar Amal Abdel-Aal, 60, yang berlindung di bawah khemah sementara di barat bandar tersebut.
Tipu daya Zionis
IDF cuba memperdaya penduduk Palestin dengan menjanjikan perkhidma-tan lebih baik di ‘zon selamat’ ciptaan mereka di al-Mawasi, selatan Gaza.
Ia kononnya termasuk akses kepada penjagaan kesihatan dan makanan.
Pada pertengahan bulan lalu, jurucakap pejabat hak asasi manusia PBB, Thameen al-Kheetan mendakwa kemudahan di al-Mawasi ibarat indah khabar daripada rupa.

Hal itu disahkan Khalil al-Madhoun, 37, yang telah melakukan perjalanan ke selatan sebanyak dua kali, namun nasib tidak menyebelahinya kerana tiada lagi ruang buatnya untuk memacak khemah.
“Kawasan itu sudah terlalu sesak dengan keluarga yang melarikan diri sejak beberapa minggu lalu,” katanya.
IDF juga cuba menakut-nakutkan penduduk Palestin apabila mengisytiharkan Bandar Gaza sebagai ‘zon tempur berbahaya’ bagi memastikan arahan pemindahan paksa dapat dilakukan segera.
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) bagaimanapun memberi amaran tegas sebarang cubaan untuk mengusir penduduk Palestin dianggap mustahil kerana tiada jaminan mereka akan selamat. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

