Sidang DUN Pahang: Lapan projek infrastruktur air di Cameron Highlands siap

KUANTAN -Lapan projek naik taraf infrastruktur air di Cameron Highlands bagi meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air di daerah itu telah disiapkan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara projek infrastruktur air yang disiapkan di daerah itu termasuk pembaikan rawatan air dan membaiki jalan ke muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Habu bernilai RM500,000.
Menurutnya, turut disiapkan kerja menaik taraf sistem paip agihan di Desa Kayangan dengan kos RM300,000; kerja menaik taraf laluan aliran air dan membina kolam takungan serta pemasangan longkang konkrit di Sungai Ichat untuk menambah kuantiti air di muka sauk LRA Terla serta kerja berkaitan melibatkan kos RM160,000.
"Selain itu, kerja-kerja membekal dan memasang pagar di kawasan tadahan air, Hutan Simpan Sungai Ichat, Kuala Terla melibatkan kos RM160,000 juga telah siap.
"Begitu juga untuk kerja-kerja menaik taraf aliran muka sauk bagi menambah kuantiti air mentah serta kerja-kerja berkaitan di Loji Air Brinchang (RM280,000)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Tanah Rata, Ho Chi (DAP) dalam Sidang Dewan Negeri Ke-15, Penggal Ke-4 di Wisma Sri Pahang, di sini pada Khamis.
Dalam jawapannya itu, Wan Rosdy turut memberitahu, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) juga telah menyiapkan kerja penyambungan paip outlet tangki Tringkap puncak ke paip jajaran Tringkap sepanjang 100 meter (RM85,000) dan penggantian paip 100 milimeter (mm) kepada jenis MSCL 200mm sepanjang 500 meter di lokasi itu (RM300,000).
"Juga telah disiapkan penggantian paip di lokasi Lembah Jasar jenis AC 100 mm kepada jenis MSCL 100mm sepanjang 300 meter melibatkan peruntukan RM130,000," ujarnya.
Sementara itu, Wan Rosdy menjelaskan, dua projek infrastruktur air di Cameron Highlands masih dalam pembinaan iaitu kerja-kerja menaik taraf sistem LRA Brinchang dan pemindahan komponen rawatan jenis compact dari LRA Benta ke LRA Brinchang dan kerja-kerja berkaitan melibatkan kos RM2.13 juta.
"Kerja-kerja membekal dan memasang paip baharu serta kerja-kerja berkaitan di Jalan Tengkolok dengan kos RM280,000.
"Sementara itu, dua lagi projek masih di peringkat pra pembinaan iaitu mereka bentuk, memasang, menyiapkan dan menauliah paip keluli lembut sepanjang tujuh kilometer (km) dari Tangki Brinchang ke Tangki Royal Lily serta kerja-kerja berkaitan," katanya.
Tambahnya, satu lagi projek, mereka bentuk, membina, menyiapkan dan menaik taraf sistem LRA Terla serta pemindahan komponen LRA dari daerah lain ke LRA Terla.
Sementara itu katanya, kerajaan negeri melalui PAIP melaksanakan 217 projek bagi menyelesaikan isu bekalan air di negeri ini melalui Pelan Projek Pembangunan Bekalan Air Negeri Pahang Fasa 1 (2021-2026).
Ujarnya, daripada jumlah projek itu, 126 projek telah siap, 26 projek dalam proses pembinaan dan 65 projek lagi di peringkat pra-pembinaan.
"Secara keseluruhannya, penyelesaian masalah air di Pahang kini mencapai 82 peratus dengan tiga daerah iaitu Bentong, Kuantan dan Raub mencapai tahap lebih 90 peratus," katanya.
Ringkasan AI
- Lapan projek naik taraf infrastruktur air di Cameron Highlands telah disiapkan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air
- Antara projek yang disiapkan termasuk pembaikan loji rawatan air dan membaiki jalan dengan kos berjumlah RM500,000
- Projek lain melibatkan kerja menaik taraf sistem paip, pembinaan kolam takungan, dan pemasangan longkang konkrit dengan kos bervariasi
- Dua projek infrastruktur air masih dalam pembinaan dan dua lagi di peringkat pra pembinaan dengan kos jutaan ringgit
- Kerajaan negeri menerusi PAIP melaksanakan 217 projek untuk menyelesaikan isu bekalan air di Pahang, dengan 126 projek telah siap
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

