X

Kindly register in order to view this article
!

12 lelaki di SPU direman ingkar PKP

Noorzainy
A
A

KEPALA BATAS -Seramai 12 lelaki ditahan membabitkan beberapa lokasi di daerah Seberang Perai Utara (SPU) kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malam tadi dalam Ops Covid-19 yang bermula pada jam 11 malam tadi.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tangkapan pertama di Kuala Muda, Penaga pada jam 11.10 malam.

"Ketika pasukan Ops Covid-19 Balai Polis Kepala Batas menjalankan rondaan, didapati enam lelaki sedang melepak di sebuah pondok. Amaran telah diberikan namun mereka enggan beredar dan polis terpaksa menahan mereka.

"Kesemua lelaki yang berusia antara 33 hingga 30 tahun itu kemudianya di bawa ke Ibu Pejabat Polis SPU. Ujian saringan awal air kencing mendapati mereka negatif dadah," katanya ketika dihubungi tadi.

Noorzainy berkata, tangkapan kedua pula melibatkan empat lelaki berusia lingkungan 26 hingga 56 tahun di Pasar Bisik, Kuala Muda Penaga pada jam 11.20 malam.

"Amaran juga telah diberikan dan dinasihatkan berada di rumah namun keempat-empat mereka masih berdegil. Salah seorang daripada mereka positif syabu.

"Sementara itu, di Jalan Permatang Pauh, Mak Mandin pula, kita menahan dua lelaki yang sedang menunggang motosikal pada jam 1.50 pagi tetapi gagal memberi penerangan yang munasabah meninggalkan kediaman mereka," katanya.

Menurutnya lelaki berusia 18 dan 21 tahun itu juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2020," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus