Sultan Selangor tegur kelakuan tidak beradab ahli Parlimen

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berangkat tiba ke Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-80 baginda di Balairung Seri, Istana Alam Shah pada Khamis. Foto Bernama.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berangkat tiba ke Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-80 baginda di Balairung Seri, Istana Alam Shah pada Khamis. Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, menegur Ahli-Ahli Parlimen yang gagal menunjukkan contoh baik dan meminta mereka mewakili rakyat dengan penuh hormat, maruah dan integriti.

Baginda menzahirkan rasa kecewa terhadap segelintir wakil rakyat yang terjerumus dalam pertengkaran, jerit-menjerit serta tingkah laku tidak tertib di Dewan Rakyat.

"Keadaan ini memalukan. Walaupun pelbagai peringatan telah diberikan sebelum ini, masih ada yang terus berkelakuan biadab,” titah baginda dalam temu bual bersama Bernama.

Sultan Sharafuddin bertitah bahawa Ahli Parlimen yang berperangai sedemikian sepatutnya menjadi teladan kepada generasi muda, namun sebaliknya "mereka berkelakuan seperti pembuli”.

Bulan lalu, dua Ahli Parlimen telah diarahkan keluar dewan selepas berlaku pertengkaran mulut.

Sepanjang tahun ini, beberapa insiden kekecohan turut berlaku di Parlimen akibat kemarahan yang memuncak.

Tuanku menegaskan bahawa Dewan Rakyat mesti menjadi contoh wacana demokrasi yang matang.

"Ahli Parlimen seharusnya berbahas dan berhujah secara berilmiah dan mengemukakan idea yang membina.

"Tidak perlu bersikap kasar atau menghamburkan kata-kata kesat antara satu sama lain.

Artikel Berkaitan:

"Kedangkalan sedemikian hanya akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi ini,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menyeru Ahli Parlimen mengekalkan adab, berbahas dengan tertib dan memperlihatkan kematangan.

"Saya tidak berniat mencampuri urusan perjalanan Dewan Rakyat kerana itu adalah tanggungjawab Yang Dipertua Dewan, namun sesetengah perlakuan dalam Dewan Rakyat memberi gambaran buruk terhadap kepimpinan kita dan mungkin menjadi contoh tidak baik kepada generasi muda.

"Tetapi sebagai seorang Raja, beta perlu menyuarakan pandangan dan kebimbangan beta,” titah baginda sambil menegaskan bahawa perbezaan pendapat harus diselesaikan melalui kewarasan, hujah yang baik dan pendekatan yang berhemah. - Bernama 

 

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Sultan Selangor menegur Ahli-Ahli Parlimen kerana tidak menunjukkan contoh baik dan berperilaku tidak tertib
  • Beliau kecewa dengan tingkah laku pertengkaran dan jerit-menjerit di Dewan Rakyat
  • Sultan Sharafuddin mengecam kelakuan Ahli Parlimen seperti pembuli, menyebabkan malu
  • Dua Ahli Parlimen telah diarahkan keluar dari dewan akibat pertengkaran mulut bulan lalu
  • Sultan menyeru Ahli Parlimen untuk berbahas dengan adab dan memperlihatkan kematangan dalam membincangkan isu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!