Tingkat kecekapan industri, perkasa daya saing negara menjelang 2030

SHAH ALAM - Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan melaksanakan Program AI untuk Produktiviti 2025, satu inisiatif strategik untuk memacu peningkatan produktiviti nasional melalui penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi dalam operasi syarikat.
Bertemakan Empower Learning, Drive Lasting Productivity, program itu menghimpunkan pemain industri, penggiat teknologi dan wakil sektor perkilangan serta perkhidmatan dari seluruh negara bagi berkongsi keberhasilan pelaksanaan projek AI dalam organisasi masing-masing.
Inisiatif itu menyasarkan penyertaan AI Untuk Produktiviti 2025 sebanyak 200 projek daripada syarikat tempatan untuk mempamerkan kejayaan projek transformasi digital sebagai showcase utama dan menerima pengiktirafan bagi projek AI berimpak tinggi.
Program tersebut merupakan komitmen MPC dalam membantu industri menyesuaikan diri dengan teknologi baharu, meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh daya saing dalam ekosistem perniagaan yang semakin berasaskan data dan automasi.
Program AI untuk Produktiviti 2025 bertujuan memperkukuh perkongsian amalan terbaik industri, mengiktiraf syarikat yang berjaya menunjukkan potensi peningkatan kecekapan dan keuntungan melalui penggunaan AI, serta mengetengahkan syarikat-syarikat berprestasi tinggi ini sebagai model rujukan bagi mendorong lebih banyak organisasi menerapkan teknologi AI secara strategik dan berimpak.

Pengisian program merangkumi pembentangan kejayaan projek AI, showcase aplikasi AI sebenar oleh syarikat tempatan, serta sesi penghargaan kepada syarikat yang berjaya melaksanakan transformasi digital berimpak tinggi.
Antara teknologi yang diketengahkan termasuk predictive analytics, automasi pengeluaran, pengoptimuman proses dan aplikasi AI dalam meningkatkan pengalaman pelanggan.
Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr Mazrina Mohamed Ibramsah berkata, program itu merupakan langkah penting meletakkan Malaysia di hadapan dalam ekonomi digital global menjelang 2030 dengan penggunaan AI mampu mempercepat transformasi industri, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh daya saing syarikat.
Beliau berkata, AI ialah enjin penggerak kepada perubahan operasi perniagaan dan mengajak semua sektor industri untuk menyertai program ini kerana transformasi digital akan memberi manfaat besar kepada perniagaan dan ekonomi negara dalam jangka panjang.
“Program ini digerakkan melalui kerjasama strategik antara MPC dan rakan industri bagi mempercepat penerapan AI dan penyelesaian digital sebagai pemacu utama kepada operasi yang lebih produktif, tangkas dan inovatif.
”Integrasi teknologi digital ini bukan sahaja mengurangkan kos dan meningkatkan ketepatan keputusan, malah memendekkan masa proses serta memperkukuh daya saing syarikat dalam persekitaran perniagaan yang semakin berorientasikan data.
“Semua sektor industri digalakkan untuk menyertai program digital ini bagi memanfaatkan potensi AI secara menyeluruh dan seterusnya mempertingkat pertumbuhan produktiviti negara,” kata Mazrina.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
