Bapa, anak sakit terlantar maut rumah terbakar

MUAR – [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki warga emas dan anaknya yang merupakan pesakit terlantar maut dalam kebakaran di rumah mereka di Lorong Haji Sulaiman, Sungai Abong di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian dilaporkan pada jam 2.35 petang selepas pihaknya menerima maklumat daripada unit ambulans Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
"Hasil siasatan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah banglo dua tingkat.
"Pemeriksaan menjumpai mangsa pertama iaitu seorang lelaki berusia 30 tahun yang merupakan pesakit terlantar akibat kemalangan jalan raya sebelum ini.
"Mangsa ditemui meninggal dunia di lokasi kejadian dengan kesan terbakar pada tubuh.
"Mangsa kedua merupakan bapa kepada lelaki tersebut berusia 75 tahun dan disahkan meninggal dunia di hospital selepas mengalami sesak nafas ketika cuba memadamkan api," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jelas beliau, siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan punca kebakaran tersebut.
"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik HPSF untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian dan kes diklasifisasikan sebagai mati mengejut," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang memiliki sebarang maklumat berkenaan kejadian tersebut boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Komisioner Suhaimi Ahmad 013-3975290.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Penguasa Bomba Kanan I Mohd Fettry Mahat berkata, seramai 14 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), dua Unit Bermotor Bomba (RIM) dan satu utiliti dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kebakaran tersebut telah dipadamkan orang awam sebelum pihak bomba tiba ke lokasi. Seorang mangsa iaitu lelaki dewasa didapati meninggal dunia di atas katil dalam bilik akibat terbakar 80 peratus.
"Mayat diserahkan kepada pihak polis dan kebakaran dapat dikawal dan operasi tamat jam 5 petang," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

