Kereta terjunam dalam sungai, pasangan warga emas dikhuatiri lemas

ROMPIN – [KEMAS KINI] Pasangan suami isteri warga emas dikhuatiri lemas selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai di Kampung Ayau, Kuala Rompin pada Selasa.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rompin bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.55 petang.
"Sebaik sahaja tiba, kita dapati sebuah kereta telah terjunam ke dalam sungai anggaran kedalaman 10 meter.

"Pada ketika itu air sedang pasang dan arus agak kuat, menyebabkan operasi awal menjadi lebih mencabar,” katanya pada Selasa.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal diperolehi ahli keluarga, pasangan warga emas itu dipercayai berada di dalam kenderaan berkenaan.
Ujarnya, pihak bomba menjalankan pencarian di permukaan menggunakan bot aluminium, manakala Unit Penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Pekan diaktifkan untuk menjalankan selaman.
"Seramai 10 anggota terlibat dalam operasi menggunakan aset Fire Rescue Tender (FRT), Simulasi Latihan Pengurusan Bencana (DMex), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah bot aluminium,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi mengesahkan, pihaknya menerima maklumat mengenai sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipercayai telah terbabas dan terjatuh ke dalam sungai sekitar jam 5.40 petang.
Menurutnya, siasatan awal di lokasi sedang dijalankan dan Pusat Kawalan Tempatan Kecemasan (PKTK) telah diwujudkan.
“Kemungkinan dua mangsa dipercayai suami isteri dan pihak bomba telah mula membuat pencarian di lokasi kejadian berlaku.
“Sungai arus agak deras, tapi pihak polis dan Bomba Rompin dalam usaha mencari kenderaan serta mangsa yang terlibat,” katanya.
Ringkasan AI
- Sepasang suami isteri warga emas dikhuatiri lemas setelah kereta mereka terjunam ke dalam sungai di Kampung Ayau, Kuala Rompin
- Balai Bomba dan Penyelamat Rompin bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan
- Kereta tersebut terjunam ke dalam sungai dengan kedalaman anggaran 10 meter
- Air sungai pada masa kejadian sedang pasang dan arusnya kuat menyebabkan operasi mencari dan menyelamat menjadi lebih mencabar
- Operasi pencarian melibatkan 10 anggota bomba menggunakan bot aluminium dan Unit Penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

