Penganggur didakwa bunuh isteri

TANAH MERAH - [DIKEMAS KINI] Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan membunuh isterinya pada 1 Disember lalu.
Tertuduh, Ibrahim Sulaiman, 63, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh didakwa membunuh Mastura Abdullah, 40, pada 1 Disember antara jam 9.30 pagi hingga 12.15 tengah hari di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Paku, Gual Ipoh.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Irfan Aizat Daud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 12 Februari depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum itu, tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di mahkamah pada jam 8.30 pagi menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero sambil diiringi anggota polis.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang isteri maut ditikam suaminya dipercayai menggunakan sebilah pisau di kediaman mereka di Kampung Paku, Gual Ipoh.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Mastura yang bekerja sebagai tukang masak di Selayang, Selangor, meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan parah pada bahagian belakang badan.
Suspek dikatakan menyerah diri di Balai Polis Gual Ipoh kira-kira jam 1 petang.
Pasangan tersebut telah mendirikan rumah tangga selama 14 tahun dan mempunyai dua orang anak berusia 10 dan 12 tahun.
Ringkasan AI
- Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Tanah Merah atas pertuduhan membunuh isterinya
- Tertuduh, Ibrahim Sulaiman, 63, tidak mengaku bersalah kerana pertuduhan bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi
- Kes pembunuhan berlaku pada 1 Disember di sebuah rumah di Kampung Paku, Gual Ipoh
- Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan sebat
- Pasangan tersebut telah berkahwin selama 14 tahun dan mempunyai dua orang anak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

