The Ilham Foundation, lima syarikat dibenar mencelah permohonan SPRM beku aset di UK

Mahkamah membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) SPRM untuk membekukan aset berkenaan.
Mahkamah membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) SPRM untuk membekukan aset berkenaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR -The Ilham Foundation dan lima syarikat pada Selasa dibenarkan mencelah permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membekukan beberapa bangunan komersial dan kediaman di London, United Kingdom (UK) bernilai GBP132 juta.

Aset berkenaan merangkumi dua bangunan komersial di St Mary Axe dan One Crown Court; tiga kediaman mewah di Bryanston Square, Bryanston Mews dan Lancaster Gate; dua unit kediaman di Gloucester Place serta satu akaun bank di CAF Bank Limited (UK) yang didakwa mempunyai hubungan dengan keenam-enam syarikat.

Selain The Ilham Foundation yang dikaitkan dengan isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin iaitu Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, syarikat lain ialah Copperfield Investment Holdings Limited, Straits Properties Ltd, Newton Assets Global Limited, Splendid International Limited dan Catalyst Assets Limited.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak Timbalan Pendakwa Raya tidak akan diprejudis oleh permohonan enam syarikat berkenaan untuk menjadi pencelah.

"Peruntukan di bawah Seksyen 53 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 adalah satu tindakan in personam kerana perintah yang dipohon akan melarang pemilik hartanah daripada berurusan dengan hartanah terbabit,” katanya sambil menambah mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk membenarkan permohonan itu.

Beliau turut memerintahkan keenam-enam pencelah memfailkan afidavit jawapan dalam tempoh 30 hari.

Copperfield Investment Holdings Limited dan Straits Properties Ltd diwakili peguam G. Rajasingam, Sathya Kumardas dan Sharon Jessy manakala empat syarikat lain diwakili peguam Nizamuddin Hamid, Abraham Au, Syed Afiq Syed Albakri serta Vam Shir Mooi.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan, Natrah Fareha Rahmat, Maziah Mohaide dan Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal hadir bagi pihak responden.

Pada 3 Jun lepas, mahkamah membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) SPRM untuk membekukan aset berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada 22 Mei lepas berkata, lapan kertas siasatan telah dibuka berdasarkan maklumat baharu yang diterima daripada agensi luar berkaitan harta pemilikan Daim, keluarga dan proksi.

Azam berkata, maklumat terbaharu menunjukkan pemilikan aset Daim, keluarga dan sekutunya tidak diisytiharkan kepada SPRM semasa siasatan pada tahun 2023. - Bernama

Ringkasan AI

  • Ilham Foundation dan lima syarikat dibenarkan mencelah permohonan SPRM untuk membekukan aset di London bernilai GBP132 juta
  • Aset tersebut merangkumi dua bangunan komersial dan lima kediaman mewah
  • Salah satu syarikat, The Ilham Foundation dikaitkan dengan isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid
  • Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan permohonan pencelahan tidak akan memprejudis pihak Timbalan Pendakwa Raya
  • Keenam-enam syarikat diperintahkan untuk memfailkan afidavit jawapan dalam tempoh 30 hari

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!