X

Kindly register in order to view this article
!

Pakej Prihatin: Langkah berani berdepan cabaran besar

Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur) dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
A
A

SHAH ALAM - Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah satu pengumuman yang berani dalam keadaan negara berdepan pelbagai cabaran besar.

Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan bukan sahaja berdepan cabaran besar menangani penularan koronavirus (Covid-19) malah dalam keadaan ekonomi dunia kian merudum.

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya itu berkata, pakej rangsangan tersebut jelas menunjukkan kerajaan prihatin terhadap rakyat dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Menurutnya, pengumuman tersebut sangat ditunggu-tunggu rakyat yang amat terkesan dengan penularan wabak Covid-19 dan langkah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan membendung penularan wabak.

"Ini terbukti dengan jumlah peruntukan paling besar iaitu RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat selain RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Sebanyak RM2 bilion pula untuk memperkukuhkan ekonomi negara, manakala RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, pakej rangsangan diumumkan Perdana Menteri juga menyentuh dan menyantuni seluruh lapisan rakyat tanpa ada yang terpinggir, termasuk di hulu dan pedalaman Sarawak dan Sabah.

Menurutnya, Perdana Menteri turut memasukkan projek kecil menambah baik jalan, menaik taraf sekolah daif di Sabah dan Sarawak, membersih rumah ibadat dan balai polis dengan peruntukan RM2 bilion.

"Begitu juga projek kecil RM2 bilion diumumkan dalam pakej sebelum ini termasuk projek infrastruktur di kawasan FELDA, projek membaik pulih sekolah daif di Sabah dan Sarawak bernilai RM350 juta dan projek membaik pulih perumahan rakyat termiskin bernilai RM150 juta.

"Apa yang lebih penting sekarang adalah untuk seluruh lapisan rakyat bersama-sama berganding bahu berjuang melawan musuh yang tidak nampak pada pandangan mata iaitu Covid-19," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus