67,735 kes jenayah dalam talian, rekod kerugian lebih RM2.7 bilion

KUALA LUMPUR - Sebanyak 67,735 kes jenayah dalam talian direkodkan di seluruh negara sejak Januari hingga November lalu melibatkan nilai kerugian melebihi RM2.7 bilion.
Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dalam kenyataan menerusi laman Facebook pada Isnin memaklumkan jenayah telekomunikasi merekodkan kes tertinggi dengan 28,698 kes daripada keseluruhan kes yang dilaporkan.
"Penipuan pelaburan tidak wujud turut menjadi antara penyumbang utama kerugian Iiaitu lebih RM1.37 bilion dengan mencatatkan 9,296 kes.
"Jenayah e-dagang sebanyak 14,881 kes dilaporkan, 8,029 kes pinjaman tidak wujud, 5,853 kes jenayah e-kewangan dan 978 kes Love Scam turut direkodkan," katanya.
Menurut kenyataan itu, jenayah telekomunikasi mencatat kerugian RM715.7 juta), jenayah e-kewangan (RM458.1 juta), e-dagang (RM123.7 juta), pinjaman tidak wujud (RM59.1 juta) dan Love Scam (RM43.7 juta).
"Statistik terbabit menunjukkan kadar jenayah siber yang membimbangkan dan menasihati orang ramai supaya bertindak segera jika menjadi mangsa dengan menghubungi bank bagi menyekat transaksi mencurigakan.
"Orang ramai yang menjadi mangsa boleh membuat laporan kepada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 serta melaporkan kejadian kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Ringkasan AI
- Sebanyak 67,735 kes jenayah dalam talian direkodkan di seluruh negara sejak Januari hingga November lalu dengan kerugian melebihi RM2.7 bilion Jenayah telekomunikasi merekodkan kes tertinggi dengan 28,698 kes Penipuan pelaburan tidak wujud mencatat kerugian lebih RM 1.37 bilion dengan 9,296 kes Jenayah e-dagang, pinjaman tidak wujud, jenayah e-kewangan, dan Love Scam turut direkodkan Orang ramai dinasihatkan menghubungi bank dan membuat laporan jika menjadi mangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
