Bukit Aman terima 426 laporan kes tipu jual topeng muka

Foto: 123RF
Foto: 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 426 kes penipuan melibatkan penjualan topeng muka dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setakat semalam dengan jumlah kerugian lebih RM3 juta.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, seramai 30 individu termasuk 10 wanita tempatan ditahan kerana disyaki terlibat menjual topeng muka palsu di media sosial.

Beliau berkata, kesemua kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis kini sedang mengesan saki-baki suspek termasuk dalang sindiket terbabit.

"Setakat semalam, kami telah membuat 19 pertuduhan dari 30 tangkapan yang telah dibuat. Modus operandi yang dilakukan ialah mengiklankan penjualan topeng muka melalui media sosial," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, segala urusan dibuat melalui aplikasi WhatsApp dan setelah pembeli membuat bayaran, suspek akan menghilangkan diri dan gagal dihubungi selain akses media sosial disekat.

Beliau berkata, sindiket itu juga memberikan nombor pengesan palsu bagi mengaburi pembeli.

Saiful Azly berkata, polis sentiasa memberi peringatan kepada orang ramai melalui pelbagai hebahan di media sosial seperti WhatsApp, Facebook Cyber Crime Alert dan rerayap di saluran utama televisyen, selain kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meningkatkan sebaran informasi berkenaan penjualan topeng muka.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar membuat semakan menerusi portal ‘Semakmule’ dan status penjual dalam talian di laman web http://biztrust.ssm.com.my sebelum membuat sebarang pembelian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Artikel Berkaitan:

Saiful Azly turut mengingatkan orang ramai agar tidak membenarkan mana-mana individu mengakses kemudahan perbankan peribadi dan jangan terburu-buru dalam melakukan pembelian.

"Orang ramai boleh menghubungi Infoline JSJK di talian 013-2111222 bagi mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

Sementara itu, Saiful Azly berkata, setakat ini PDRM tidak menerima laporan berkenaan penipuan penjualan peralatan perlindungan diri (PPE) dan penjualan penutup hidung dan mulut kitar semula seperti yang tular di media sosial.- Bernama