[VIDEO] Beri alasan kualiti diesel rendah punca asap kenderaan hitam

A
A
A

NILAI - Kualiti diesel rendah adalah antara alasan yang sering diberikan oleh kebanyakan pemilik kenderaan apabila dikenakan kompuan selepas didapati melepaskan asap hitam melebihi had dibenarkan.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan(JAS), Abdul Aziz Parmin berkata, alasan itu tidak tepat kerana negara kini sudah beralih kepada diesel Euro 5 yang lebih bersih dan berkualiti tinggi.

"Alasan mengatakan kualiti diesel menjadi salah satu penyebab pelepasan asap hitam itu tak berapa tepat.

"Apa yang penting penyelenggaraan enjin kenderaan perlu dilakukan secara berkala," katanya ditemui pemberita selepas Operasi Gerak Kenderaan Bermotor peringkat Negeri Sembilan di Plaza Tol Nilai di sini pada Selasa.

Operasi yang dilaksanakan secara bersepadu bermula jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari itu turut melibatkan polis, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan PLUS Malaysia Berhad.

Abdul Aziz
Abdul Aziz

Abdul Aziz berkata, dalam operasi berkenaan sebanyak enam kompaun dan enam notis arahan untuk pembaikan semula telah dikeluarkan kepada kenderaan yang menggunakan diesel, manakala dua kompaun kepada kenderaan menggunakan petrol.

"Pemilik kenderaan tersebut dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel dan Petrol) 1996.

Artikel Berkaitan:

"Secara keseluruhan, sebanyak 100 kenderaan diperiksa dan 50 daripadanya telah diarah membuat ujian asap bagi memastikan pelepasan asap kenderaan mengikut piawaian ditetapkan,"katanya..

Jelas beliau, setiap kenderaan boleh dikenakan tindakan sekiranya tahap bacaan ketumpatan asapnya melebihi 50 peratus.

Sementara itu, seorang pemandu lori berusia 29 tahun yang dikenakan kompaun dalam operasi tersebut memberitahu Sinar Harian yang dirinya tidak mengetahui asap dilepaskan kenderaan dibawanya berwarna hitam.

"Saya rasa asap lori biasa saje, tak teruk pun. Bos pun tak pernah beritahu apa-apa.

"Lagi pun saya baru kerja dengan syarikat ini,"katanya.

Penguat kuasa JAS menggunakan mesin meter asap untuk memastikan kandungan ketumpatan asap kenderaan mematuhi had dibenarkan.
Penguat kuasa JAS menggunakan mesin meter asap untuk memastikan kandungan ketumpatan asap kenderaan mematuhi had dibenarkan.

Dia yang baru setahun bekerja sebagai pemandu lori memaklumkan dalam perjalanan dari Sendayan ke Nilai 3 untuk menghantar kayu pallet.

"Saya kerja dengan syarikat ini baru tiga bulan. Saya tak tahu pula lori asapnya bermasalah.

"Lagi pun saya bos pun tak pernah beritahu apa-apa pun mengenai asap ini," katanya lagi.

Lain pula halnya dengan seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda(4x4) jenis Nissan Frontier berusia lingkungan 60-an yang meluahkan rasa syukur apabila dikenakan kompaun terbabit.

Ini kerana katanya, dia tidak mengetahui yang asap kenderaannya itu bermasalah.

Dalam operasi berkenaan, sebanyak 21 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan oleh polis, 30 saman oleh JPJ dan dua individu ditahan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan kerana didapati positif dadah.

Ends.

Ringkasan AI

  • Kualiti diesel rendah bukan alasan utama pelepasan asap hitam kerana Malaysia sudah gunakan diesel Euro 5
  • Penyelenggaraan enjin kenderaan secara berkala adalah penting
  • Dalam operasi di Plaza Tol Nilai, enam kompaun dikeluarkan kepada kenderaan diesel dan dua untuk petrol
  • Sebanyak 100 kenderaan diperiksa dengan 50 diarah buat ujian asap
  • Kenderaan yang melepaskan asap melebihi 50 peratus ketumpatan boleh dikenakan tindakan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!