Warga emas 'lalok' di tempat buang sampah ditahan AADK

IPOH – Guna duit anak beli dadah! Taktik pasangan warga emas itu terbongkar apabila mereka antara 1,078 individu ditahan dalam Operasi Cegah Khas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang dijalankan serentak di seluruh negara selama tiga hari bermula Isnin lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainudin Abdullah berkata, pasangan suami isteri masing-masing berusia 65 dan 58 tahun itu ditahan ketika berada di kawasan pembuangan sampah di daerah Kinta, Perak.
"Wanita berusia 58 tahun tersebut masih berada di bawah pengawasan AADK, manakala suaminya mempunyai rekod tangkapan polis.
“Mereka tidak bekerja dan didapati membeli dadah menggunakan wang yang diberikan anak-anak,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Meru Raya di sini pada Rabu.
Dalam operasi di negeri sama, beliau berkata, seorang penjawat awam yang juga seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan.
"Hasil ujian dijalankan mendapati individu tersebut positif dadah jenis methamphetamine," ujarnya.

Zainudin berkata, Perak menjadi antara negeri tumpuan operasi dengan jumlah tangkapan seramai 267 penagih dan penyalah guna dadah, termasuk 154 penagih baharu dikesan.
Menurutnya, operasi memberi tumpuan kepada beberapa port penagihan yang kembali aktif antaranya di Chemor, Tambun, Bercham dan Menglembu, walaupun pernah dimusnahkan awal tahun ini.

"Port berkenaan terletak di kawasan terpencil seperti kubur, kawasan pelupusan sampah dan belukar terbiar dengan kehadiran penagih dianggarkan 20 hingga 30 orang pada satu-satu masa.
"Lazimnya port ini aktif antara jam 6 hingga 10 pagi dan 5 hingga 7 petang," katanya.
Dalam perkembangan sama, Zainudin menambah, daripada keseluruhan 1,078 individu yang ditahan dalam operasi berskala besar itu, seramai 794 disahkan positif dadah.
Ujarnya, mereka yang positif majoritinya adalah lelaki iaitu seramai 747 orang, manakala 47 lagi merupakan wanita dengan golongan paling ramai dikesan ialah berusia 19 hingga 40 tahun.
"Penyalahgunaan methamphetamine berada pada tahap paling tinggi iaitu 64 peratus berbanding jenis dadah lain termasuk opiat, ketum dan ganja," katanya.
Ringkasan AI
- Penjawat awam antara 1,078 individu ditahan dalam Operasi Cegah Khas Agensi Antidadah Kebangsaan
- Individu ditahan positif methamphetamine
- Pasangan penagih warga emas ditahan di tempat pembuangan sampah
- 267 penagih dan penyalah guna dadah ditahan di Perak
- 794 daripada 1,078 individu yang ditahan disahkan positif dadah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

