Lebih 3500 peserta sertai Miles with ecoBrown’s Urban Walk 2025

PETALING JAYA – Program Miles with ecoBrown’s Urban Walk 2025 berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 3,500 peserta yang berkumpul seawal jam 6 pagi di Sunway Pyramid disini menandakan komitmen tinggi masyarakat terhadap gaya hidup sihat dan aktiviti komuniti.
Menurut Pengurus Kanan Kumpulan, Serba Wangi Sdn Bhd, Chua Keng Jin, acara berjalan kaki anjuran ecoBrown’s itu memasuki tahun Kelima sejak diperkenalkan ketika tempoh Covid-19 bagi menggalakkan masyarakat kekal aktif walaupun berdepan cabaran kesihatan dan pergerakan terhad.
"Tahun ini menandakan kali ketiga ia diadakan secara fizikal sebagai acara tahunan, sekali gus menunjukkan sambutan yang semakin meningkat," katanya kepada Sinar Harian selepas menyempurnakan majlis pelepasan Program Miles with ecoBrown’s Urban Walk 2025.

Menurut Keng Jin, walkathon berkenaan bukan sahaja menjadi platform untuk menghargai pengguna, malah sebagai usaha berterusan mempromosikan kehidupan sihat dan masa berkualiti bersama keluarga serta rakan-rakan.
“Dalam kesibukan hidup, kita sering terburu-buru dari satu perkara ke perkara lain. Program Miles diadakan untuk mengingatkan kita agar memperlahankan langkah, berehat seketika dan menghargai setiap detik kecil dalam hidup,” ujarnya.
Pengalaman baharu
Rata rata peserta yang ditemui Sinar Harian turut memberikan reaksi positif terhadap penganjuran kali ini.
Seorang peserta, Sarah Amin, 34, menyifatkan acara itu sebagai ruang untuk ‘menyegarkan semula minda’.
“Saya sertai setiap tahun sejak 2022. Selain sihat, saya suka suasana positif dan peluang untuk habiskan masa dengan keluarga. Tahun ini lebih meriah dan teratur,” ujarnya.

Bagi pelajar universiti, Amirul Hakim, 21, penyertaan kali pertama memberi pengalaman baharu yang bermanfaat.
“Biasanya hujung minggu saya habiskan di rumah, tetapi program seperti ini buat saya sedar pentingnya keluar, bersenam dan menghargai pemandangan sekitar. Saya pasti akan sertai lagi,” ujarnya.
Seorang lagi peserta warga emas, Chan Mei Ling, 63, memuji penganjur kerana menyediakan laluan yang selamat dan mesra semua peringkat umur.
“Acara ini baik untuk komuniti. Ia bukan soal jarak tetapi peluang untuk bergerak bersama tanpa tekanan,” ujarnya.
Sepanjang acara, peserta dilihat menikmati suasana ceria, selain diberi peringatan untuk menghargai keindahan sekeliling yang jarang disedari dalam kesibukan harian.

Dalam pada itu, penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Sunway Group, rakan runcit, pasukan produksi, kru acara, pengurusan serta barisan artis yang terlibat atas sokongan padu menjayakan program berkenaan.
Penganjur juga berterima kasih kepada anggota trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) kerana memastikan keselamatan peserta serta kelancaran acara sepanjang pagi.
Menjelang penghujung acara, peserta berkumpul di kawasan penamat sambil disambut persembahan ringkas artis yang terlibat dan sorakan dan tepukan bergema, menambahkan lagi kemeriahan suasana.
Ramai peserta menyatakan harapan agar program seperti ini diteruskan setiap tahun kerana ia bukan sahaja mempromosikan kesihatan, malah memperkukuh hubungan komuniti dan mengingatkan mereka bahawa setiap langkah sama ada dalam aktiviti riadah atau dalam kehidupan sentiasa membawa makna tersendiri.
Acara ditutup oleh penganjur dan petugas Program Miles with ecoBrown’s Urban Walk 2025 dengan seruan supaya masyarakat terus menjadikan setiap langkah lebih bermakna dalam kehidupan seharian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

