Lesen ‘tergantung’, nasib 80 peniaga RM3 sepeket jadi tanda tanya

PASIR PUTEH – Lebih 80 peniaga makanan RM3 sepeket di bawah Vendor Mami menyuarakan kebimbangan apabila lesen untuk membuka khemah di depan sebuah premis di sini masih 'tergantung' selepas tamat pada 18 November lalu.
Pengasas Vendor Mami, Maziah Mat@Mohamad, 44, berkata, lesen operasi yang diberikan hanya sah selama sebulan sahaja.
"Kami masih menunggu maklum balas atau ihsan daripada MDPP (Majlis Daerah Pasir Puteh) untuk memperbaharui lesen berkenaan. Lagi satu, kami mohon membenarkan terus berniaga bawah khemah.
"Kalau diikutkan kami berniaga (membuka khemah) tanpa lesen sekarang ini," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Menurut bekas pensyarah Sains Komputer Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, kesemua peniaga di bawah vendornya terdiri daripada ibu tunggal, asnaf dan suri rumah yang ingin mencari pendapatan sampingan selain menawarkan makanan dengan harga murah.

Ujarnya, mereka berharap pihak berkuasa tempatan memberikan pertimbangan sewajarnya bagi memastikan nasib 80 peniaga di bawah vendor tersebut terjamin.
Maziah memberitahu, beliau menggunakan kelebihan media sosial bagi membantu penduduk setempat memasarkan pelbagai jenis makanan pada harga RM3 sepeket.
"Kini terdapat lebih 300 jenis makanan termasuk nasi seperti kerabu, lemak serta kuih muih, puding, sandwich dan juga air.
"Sehari kami berjaya menjual sehingga 1,000 peket makanan dari jam 8 pagi hingga 2 petang," katanya.
Menurut beliau, idea penubuhan Vendor Mami adalah semata-mata untuk membantu peniaga kecil memasarkan makanan mereka di satu lokasi secara berpusat
Ujarnya, bagaimana nasib 80 peniaga jika tidak dibenarkan meneruskan perniagaan bawah khemah di depan premis berkenaan walaupun mereka baru sebulan beroperasi.
Maziah memberitahu, sedangkan pelanggan mereka datang dari Besut, Jerteh di Terengganu dan daerah lain di negeri ini.
"Diharap pihak berkuasa dapat memberi pertimbangan sewajarnya demi kepentingan para peniaga,” katanya.
Ringkasan AI
- Lebih 80 peniaga Vendor Mami bimbang lesen operasi belum diperbaharui selepas tamat 18 November lalu
- Lesen operasi diberi hanya sah selama sebulan
- Peniaga terdiri ibu tunggal, asnaf dan suri rumah menawarkan makanan RM3 sepeket
- Pihak berkuasa dimohon memberi pertimbangan untuk memastikan nasib peniaga terjamin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

