Kelantan cadang bina Galeri Tok Janggut di Pasir Puteh

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan bercadang membina sebuah Galeri Tok Janggut di Mukim Jeram, Pasir Puteh iaitu lokasi asal pahlawan Melayu terkenal itu bagi memperingati sejarah perjuangannya.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, galeri berkenaan akan dijadikan pusat sumber kekal yang memuatkan bahan sejarah untuk rujukan pelajar serta pengkaji sejarah.
“Buat masa ini belum ada tarikh tepat pembinaan galeri tersebut kerana kita masih di peringkat awal, iaitu mengenal pasti tapak serta mengkaji konsep.
“Kita mahu menjadikan galeri ini sebagaimana contoh Galeri Mahsuri di Langkawi,” katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.

Sebelum itu, beliau merasmikan Program Merdeka Derma Darah dan Saringan Kesihatan anjuran Hotel Jewels.
Hadir sama, Pengurus Hotel Jewels, Muhammad Azrin Zainal Abidin.
Menurut Kamarudin, galeri itu dicadang dibangunkan berhampiran tapak berlakunya peperangan Tok Janggut di Mukim Jeram.
Ujarnya, pihak mereka kini sedang menjejaki waris-waris Tok Janggut bagi mendapatkan maklumat lebih tepat, termasuk memastikan kesinambungan fakta sejarahnya.
Tambah beliau, setakat ini hanya generasi ketiga yang dapat dikenal pasti, manakala generasi kedua masih dalam usaha dikesan.
“Kebanyakan maklumat yang ada sekarang hanya direkodkan dalam buku sejarah, manakala lokasi sebenar perjuangan Tok Janggut masih belum didokumentasikan secara terperinci.
“Kalau ada pun, hanya kubur Tok Janggut di Pasir Pekan. Sebab itu kita mahu selesaikan ‘teka-teki’ sejarah ini agar masyarakat boleh melihat sendiri bukti perjuangan beliau,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

