MITI sokong usaha transformasi nilai, ekonomi negara

SHAH ALAM - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menaja lokasi persidangan World #QuranConvention (WQC) 2025 di Kuala Lumpur sebagai usaha memperkukuhkan sinergi spiritual, ekonomi dan sosial.
Ketua Setiausaha MITI, Hairil Yahri Yaacob berkata, penyertaan pihaknya bertepatan dengan peranan kementerian sebagai peneraju transformasi ekonomi yang seimbang dan berteraskan nilai, selaras dengan semangat Surah Al-Saff.
“Persidangan ini bukan sekadar satu majlis keagamaan, tetapi satu gerakan nilai yang mampu memberi kesan langsung kepada rakyat dan memperkukuh peranan MITI dalam membentuk ekonomi yang lebih berjiwa.
“WQC 2025 mengingatkan kita bahawa kejayaan ekonomi yang sebenar tidak hanya diukur melalui angka pertumbuhan, tetapi juga melalui kesatuan, disiplin dan keikhlasan dalam bekerja untuk kebaikan bersama.
“Inilah semangat yang MITI bawa menjadikan nilai spiritual sebagai asas kepada transformasi ekonomi negara,” katanya.
Penganjuran bertemakan 'Unity for Economic Transformation' yang berasaskan tafsiran Surah Al-Saff akan berlangsung di Dewan Perdana MITI Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, Hairil Yahri berharap penganjuran WQC 2025 itu dapat memastikan setiap langkah dalam pembangunan negara disusun dalam saf kukuh iaitu ekonomi, sosial dan spiritual yang bergerak seiring menuju kemajuan yang sebenar.
Beliau berkata, pihaknya percaya pembangunan negara yang mampan mesti digerakkan melalui sinergi kerjasama antara kerajaan, sektor korporat dan pertubuhan seperti Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
