'Saya tak nak pindah' - OKU lembam mahu terus tinggal di rumah pusaka hampir runtuh

Mohd Rani memegang lilin yang digunakan pada waktu malam.
Mohd Rani memegang lilin yang digunakan pada waktu malam.
A
A
A

KOTA BHARU — Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam enggan berpindah dari rumah pusaka peninggalan ibu bapanya di Kampung Bukit Tanah, Peringat, di sini meskipun sebahagian dinding, lantai dan atap sudah runtuh.

Mohd Rani Ibrahim, 61, berkata, dia tetap mahu tinggal di rumah itu walaupun datang ribut atau hujan lebat selain diancam binatang waktu malam serta ketiadaan bekalan elektrik yang sudah dua tahun dipotong.

“Saya tinggal seorang, malam-malam pasang lilin empat hingga lima batang.

“Ada musang, tupai, tikus dan biawak masuk dalam rumah, kadang boleh nampak khinzir datang dekat semak tepi rumah,” katanya ketika ziarah Pengerusi Persatuan Generasi Sejahtera (ISejahtera), Datuk Mohammad Hamizan Amzah di rumah tersebut pada Jumaat.

Menurut Mohd Rani, dia mandi menggunakan air telaga kerana tiada bekalan air paip selain bergantung kepada ihsan penduduk kampung untuk makanan harian.

Dia juga pernah cedera apabila kipas siling jatuh menghempap kepalanya kerana palang kayu yang reput dimakan anai-anai.

Keadaan rumah pusaka Mohd Rani yang menunggu waktu untuk runtuh sepenuhnya.
Keadaan rumah pusaka Mohd Rani yang menunggu waktu untuk runtuh sepenuhnya.

Sepupunya, Cik Fatimah Che Lah, 74, berkata, pada hari kejadian dia mendengar bunyi dentuman kuat dan menyangkakan rumah itu runtuh lalu bergegas ke rumah tersebut namun terkejut menemui Mohd Rani terbaring dengan kepala berdarah.

Artikel Berkaitan:

“Saya minta bantuan orang kampung untuk hantar dia ke hospital,” katanya.

Menurut warga emas itu, dia berkali-kali memujuk Mohd Rani tinggal bersama di rumah bersebelahan, namun lelaki itu tetap menolak.

Mohd Rani tidak mempunyai pekerjaan dan usaha untuk mendaftarkannya dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga gagal kerana dia enggan.

“Saya risau sangat sebab rumah itu makin bahaya, tapi dia tetap tak nak keluar.

“Dia juga ada penyakit sawan dan pernah pengsan seorang diri,” katanya.

Fatimah berkata, Mohd Rani sebelum ini tinggal di rumah itu bersama ibunya dan dia yang menjaga wanita itu sebelum wanita tersebut meninggal dunia tiga tahun lalu.

Sementara itu, Mohammad Hamizan berkata, keadaan rumah yang hampir runtuh itu tidak lagi selamat didiami dan pihaknya melihat keperluan membina kediaman baharu untuk Mohd Rani sebagai satu tindakan segera yang tidak boleh ditangguhkan.

Katanya, ISejahtera merancang membina sebuah rumah batu berukuran sekitar 1.4 hingga 1.9 meter persegi lengkap dengan satu bilik tidur, ruang dapur serta tandas bagi membolehkan warga emas itu tinggal dalam keadaan lebih selesa berbanding bergantung kepada air telaga atau lilin seperti sekarang.

“Anggaran kos bagi menyiapkan rumah ini tersebut sekitar RM10,000 hingga RM15,000 dan mohon orang ramai yang prihatin untuk sama menyumbang bagi memastikan Mohd Rani dapat tinggal di tempat yang lebih selamat pada usia emasnya,” katanya.

 

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki OKU enggan berpindah dari rumah pusaka walaupun dalam keadaan daif
  • Mohd Rani, 61, tinggal seorang di rumah itu tanpa elektrik dan menghadapi ancaman dari binatang liar
  • Dia bergantung kepada bantuan penduduk kampung untuk makanan dan menggunakan air telaga untuk mandi
  • Ditawarkan tempat tinggal oleh sepupunya tetapi menolak, tidak mempunyai pekerjaan dan tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat
  • Persatuan Generasi Sejahtera merancang membina kediaman baharu untuknya dengan kos antara RM10,000 hingga RM15,000

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!