Isu tanah Felda: Anwar perlu dengar dua belah pihak - Exco

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Persekutuan perlu mendapatkan maklumat daripada kedua-dua pihak sebelum membuat sebarang rumusan berhubung isu bayaran hasil melibatkan 10 ladang Felda seluas kira-kira 15,000 hektar yang diusahakan di atas tanah negeri Terengganu.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, kenyataan bahawa Kerajaan Pusat telah melunaskan semua keperluan kewangan berkaitan isu tersebut dilihat hanya bersandarkan kepada maklumat sebelah pihak.
"PMX (Anwar) hanya dengar maklumat sebelah pihak, kemudian buat kenyataan dalam Dewan Rakyat.
"Maklumat yang diberi kepada Kabinet hari ini (semalam) pun sama. Mereka belum dengar daripada kerajaan negeri. Bagi saya, kenyataan Kabinet itu tidak memberi sebarang makna," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang memaklumkan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan telah menjelaskan status kewangan melibatkan isu tersebut dalam mesyuarat Kabinet.
Menurut Fahmi, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Terengganu untuk memastikan apa yang sudah dilunaskan sebelum ini dan perlu disusuli pihak kerajaan negeri.
Bagaimanapun, Azman berkata, maklumat yang dibentangkan itu masih banyak kelompangan dan tidak mencerminkan keseluruhan kronologi sebenar sebagaimana dibangkitkan kerajaan negeri sejak sekian lama.
Katanya, kemungkinan wujud laporan tidak tepat yang diterima Perdana Menteri berhubung isu cukai tanah diusahakan Felda di Terengganu.
Azman menegaskan, sebarang perbincangan di peringkat Kerajaan Pusat tidak akan menyelesaikan isu tersebut tanpa mendengar penjelasan kerajaan negeri.
"Sebab itu saya sebut dari awal, kalau Kabinet nak bincang, mereka perlu dengar daripada kedua-dua pihak.
"Mereka perlu lihat kronologi penuh dan menghormati bidang kuasa negeri. Ini soal mengembalikan hak negeri, bukan sekadar menerima maklumat sebelah pihak daripada syarikat yang kerajaan negeri sudah lama berdepan dolak-dalih mereka," ujar beliau.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap hasil mesyuarat Jawatankuasa Task Force Tanah Felda yang diadakan di Putrajaya pada Jumaat.
Namun, beliau berkata, ruang perbincangan berhubung isu berkenan masih terbuka dan pihaknya akan sentiasa meneliti perkembangan berkaitan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, isu tersebut dibangkitkan selepas kerajaan Terengganu mendakwa tidak pernah menerima bayaran hasil cukai daripada Felda sejak 40 tahun lalu.
Bayaran hasil cukai itu melibatkan kira-kira 15,000 hektar ladang kelapa sawit daripada 10 tanah ladang diusahakan di Setiu, Marang, Dungun dan Kemaman Terengganu
Ringkasan AI
- Kerajaan Persekutuan harus mendapat maklumat dari kedua-dua pihak sebelum buat keputusan isu bayaran hasil Felda di Terengganu
- Kerajaan Pusat menganggap telah lunas keperluan kewangan tanpa dengar daripada kerajaan negeri
- Ketua Setiausaha Perbendaharaan akan bincang dengan Terengganu untuk pastikan status kewangan
- Maklumat sekarang dianggap belum lengkap dan tak mencerminkan kronologi sebenar
- Isu ini timbul selepas Terengganu dakwa tak terima bayaran hasil cukai daripada Felda untuk tanah seluas 15,000 hektar selama 40 tahun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
