Malaysia, Singapura akan tingkatkan kuota teksi rentas sempadan

Malaysia dan Singapura akan meningkatkan kuota teksi berlesen rentas sempadan kepada 500 bagi setiap negara. Gambar hiasan
Malaysia dan Singapura akan meningkatkan kuota teksi berlesen rentas sempadan kepada 500 bagi setiap negara. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Singapura akan meningkatkan secara berperingkat kuota teksi berlesen rentas sempadan kepada 500 bagi setiap negara, berbanding 200 pada masa ini, bagi memenuhi permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan rentas sempadan yang lebih mudah, menurut Kementerian Pengangkutan kedua-dua negara.

Peningkatan ini tertakluk kepada pelaksanaan berkesan langkah perlindungan terhadap perjalanan domestik tidak sah serta pematuhan keperluan insurans.

"Sebagai permulaan, setiap negara akan menyediakan tambahan kuota sebanyak 100, dengan keutamaan diberikan kepada kenderaan lebih besar dan premium yang boleh memenuhi keperluan kumpulan lebih besar dan pengembara korporat,” menurut kenyataan bersama kementerian itu pada Jumaat.

Ini adalah antara perkara yang dipersetujui oleh Menteri Pengangkutan untuk dibincangkan secara rapat oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Malaysia dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura, khususnya berkaitan penambahbaikan Skim Teksi Rentas Sempadan.

Perkara itu susulan pertemuan antara Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke dan Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Jeffrey Siow pada Khamis, yang diadakan sempena Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Singapura-Malaysia ke-12 di Singapura, bagi membincangkan usaha berterusan memperkukuh hubungan pengangkutan antara kedua-dua negara.

Selain itu, teksi asing dibenarkan menurunkan penumpang di mana-mana lokasi di luar negara asal mereka tetapi hanya boleh mengambil penumpang di lokasi pengambilan yang ditetapkan.

"Kami akan meningkatkan secara berperingkat jumlah lokasi pengambilan bagi tempahan melalui aplikasi e-hailing,” menurut kenyataan itu.

Bagi menyokong penguatkuasaan terhadap perjalanan domestik haram dari satu titik ke titik lain, teksi berlesen mesti mudah dikenal pasti melalui warna khas seragam, plat kenderaan kalis usikan dengan awalan tertentu serta penanda bumbung, dan juga dikehendaki memasang unit dalam kenderaan ERP2 Singapura untuk memasuki negara itu.

Kedua-dua negara turut bersetuju untuk mewujudkan rangka kerja kawal selia bagi platform e-hailing rentas sempadan serta meningkatkan perlindungan insurans untuk teksi rentas sempadan dan mempercepatkan pemprosesan tuntutan jika berlaku kemalangan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, kedua-dua menteri mengarahkan APAD dan LTA untuk menyelaras rangka kerja kawal selia bagi meningkatkan perkhidmatan bas rentas sempadan untuk tujuan pelancongan.

"Penambahbaikan dan prinsip yang dipersetujui kedua-dua Menteri ini mencerminkan komitmen berterusan kami untuk meningkatkan hubungan rentas sempadan dan pengalaman perjalanan bagi pengembara antara Singapura dan Malaysia,” menurut kenyataan itu. - Bernama

Ringkasan AI

  • Malaysia dan Singapura akan meningkatkan kuota teksi berlesen rentas sempadan kepada 500 bagi setiap negara
  • Peningkatan kuota adalah untuk memenuhi permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan rentas sempadan yang lebih mudah
  • Sebagai permulaan, tambahan kuota sebanyak 100 diberikan dengan keutamaan kepada kenderaan lebih besar dan premium
  • Tindakan ini susulan pertemuan antara Menteri Pengangkutan kedua negara bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan pengangkutan
  • Kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan perlindungan insurans bagi teksi rentas sempadan dan mempercepatkan pemprosesan tuntutan kemalangan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!