Tiada toleransi terhadap kandungan ekstremisme di platform digital

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Penyebaran kandungan ekstremisme dan hasutan keganasan di ruang digital kini menjadi antara ancaman keselamatan paling membimbangkan negara, apabila ideologi berbahaya semakin disampaikan melalui cara halus, tersirat dan sukar dikesan.

Penggunaan bahasa berkod, simbol terselindung serta visual yang dimanipulasi menjadikan pengesanan awal lebih mencabar, selain wujudnya rangkaian akaun tanpa identiti yang menyasarkan individu terdedah risiko.

Perkembangan global menunjukkan kumpulan ekstremis semakin agresif memanfaatkan platform media sosial arus perdana dan aplikasi mesej terenkripsi untuk merekrut, menyebarkan propaganda serta menormalisasi keganasan.

Di Malaysia, penyebaran kandungan sedemikian berlaku merentas pelbagai platform, seiring perubahan corak komunikasi dan keupayaan ekstremis menyesuaikan taktik bagi mencapai sasaran baharu, termasuk golongan belia, komuniti terpinggir dan individu dalam keadaan terasing.

Menurut Pengarah, Pusat Kecemerlangan Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber, Management and Science University (MSU), Assoc Prof Ts Dr Muhammad Irsyad Abdullah, proses penyebaran ekstremisme kini berlaku melalui ekosistem yang terancang, menggunakan Facebook, TikTok, Instagram, YouTube dan X sebagai pintu masuk awal.

DR MUHAMMAD IRSYAD
DR MUHAMMAD IRSYAD

"Pada peringkat permukaan, kandungan ekstremis disamarkan sebagai komentar politik, dakwah, hiburan atau motivasi, sebelum pengguna dibawa secara beransur-ansur ke kandungan lebih radikal melalui algoritma cadangan.

"Analisis keselamatan mendapati 46 peratus kes ekstremisme di Malaysia pada 2024 melibatkan eksploitasi Facebook untuk memiliki bahan berkaitan Islamic State (IS) atau menyatakan sokongan terhadap kumpulan itu.

Artikel Berkaitan:

"Apabila minat pengguna meningkat, perbualan biasanya dipindahkan ke platform terenkripsi seperti Telegram, WhatsApp, Signal atau Element, di mana propaganda, bahan rekrutmen, arahan operasi dan testimoni pejuang diedarkan," ujarnya.

Beliau berkata, Telegram kekal platform paling popular berikutan enkripsi hujung ke hujung dan moderasi yang longgar.

Menurutnya, pola itu turut dikesan dalam rekrutmen ISIS antara 2014 hingga 2019 apabila militan seperti Muhammad Wanndy menggunakan media sosial terbuka sebagai pintu rekrut sebelum memindahkan komunikasi ke Telegram untuk perancangan operasi.

"Cabaran utama hari ini ialah taktik penyamaran yang semakin kompleks. Kandungan ekstremis tidak lagi hadir dalam bentuk pernyataan kasar, sebaliknya dibungkus sebagai isu ketidakadilan, identiti atau agama yang kelihatan sederhana.

"Penggunaan ‘dog whistles’, bahasa berkod, emoji atau nombor yang hanya difahami komuniti tertentu menjadikan sistem automatik sukar mengesan maksud sebenar," ujarnya.

Laporan International Centre for Counter-Terrorism (ICCT) 2025 menegaskan kecerdasan buatan masih lemah memahami konteks tempatan, justeru moderasi manusia yang memahami budaya kekal penting," ujarnya.

No Image Caption

Ujarnya, tindakan segera amat kritikal kerana dunia digital beroperasi pantas.

"Kandungan berbahaya boleh menjangkau jutaan pengguna dalam beberapa minit, seperti insiden livestream serangan Christchurch pada 2019 yang terus beredar walaupun lebih sejuta salinan dipadam dalam 24 jam.

"Radikalisasi pula berlaku secara senyap; individu yang pada mulanya hanya mengikuti isu identiti boleh beralih daripada simpati kepada sokongan ganas.

"Serangan Ulu Tiram pada 2024 menunjukkan bagaimana proses radikalisasi tertutup melalui kandungan ISIS di Telegram masih berupaya mempengaruhi tanpa jejak jelas," ujarnya.

Dalam konteks platform digital, Dr. Muhammad Irsyad menegaskan keperluan mekanisme kawalan lebih ketat melalui pengesanan awal, moderasi berterusan dan penyingkiran segera kandungan berisiko tinggi.

Facebook, misalnya, melaporkan 14.9 juta kandungan berkaitan keganasan diturunkan pada suku ketiga 2024, manakala 99 peratus kandungan ISIS dan al-Qaeda dikesan sebelum dapat diakses pengguna.

Kerjasama industri seperti Global Internet Forum to Counter Terrorism (GIFCT) membolehkan perkongsian ‘hash’ kandungan ekstremis bagi menghalang muat naik semula di platform lain.

Namun, taktik ekstremis terus berubah. Apabila platform besar mengetatkan kawalan, kumpulan ekstremis berhijrah ke platform alternatif yang lebih longgar, seperti Rocket.Chat, yang dikesan digunakan kumpulan pro-ISIS untuk saluran bahasa Melayu pada 2024.

Jelasnya, sekatan awal terbukti berkesan memutuskan rangkaian penyebaran serta menghalang kandungan viral daripada mencapai kelompok sasaran.

"Insiden Christchurch menunjukkan 83 peratus salinan video serangan berjaya disekat dalam sejam, mengurangkan jangkauan awal.

"Di Malaysia, penutupan akaun berkaitan Muhammad Wanndy selepas 2017 turut menyusutkan rekrutmen terbuka di media sosial, memaksa jaringan ekstremis bergerak lebih tertutup," ujarnya.

Keberkesanan langkah ini bergantung kepada saluran pelaporan yang jelas, mudah diakses dan berfungsi. Pengguna perlu tahu bagaimana melapor, sementara platform mesti bertindak dalam tempoh ditetapkan.

Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 kini mewajibkan platform besar melaksanakan penyingkiran segera bagi kandungan pro-keganasan, menilai laporan pengguna serta menyediakan mekanisme kawalan kandungan.

Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) pula mewajibkan pelesenan untuk platform dengan lebih 8 juta pengguna bagi memastikan pematuhan piawaian keselamatan lebih ketat.

Dr. Muhammad Irsyad menegaskan bahawa usaha mengekang ekstremisme memerlukan pendekatan berlapis, merangkumi teknologi, undang-undang, kepakaran moderasi dan kesedaran masyarakat.

Tanpa tindakan tegas dan pantas, ruang digital berpotensi menjadi habitat subur kepada ideologi kebencian yang mengancam keharmonian negara.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!