Akademi Rel buka peluang kerjaya anak Pahang

KUANTAN – Inisiatif strategik kerajaan Pahang menubuhkan Akademi Rel Pahang dengan peruntukan awal RM1 juta sebagai geran padanan kepada Yayasan Pahang adalah sebahagian usaha memacu modal insan tempatan.
Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, akademi tersebut ditempatkan di Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) berfungsi sebagai hab utama bagi melatih tenaga kerja tempatan yang relevan dan berkemahiran tinggi
"Inisiatif ini memberi peluang kepada anak Pahang memasuki industri rel dengan latihan khusus, termasuk pembangunan soft skills dan kompetensi teknikal.
"Ini sekali gus dapat menyediakan pasaran kerja apabila Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) beroperasi pada Januari 2027," katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2026 di persidangan DUN Pahang di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.
Jelasnya, penubuhan akademi ini selaras dengan teras ketiga belanjawan iaitu meningkatkan taraf Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang disifatkan sebagai tunjang kemajuan negeri.
Tambahnya, ia juga sebahagian daripada strategi menyeluruh bagi masa hadapan Pahang.
"Sesebuah negeri boleh membina bangunan yang megah, jalan raya yang luas dan projek yang gah, namun tanpa rakyat yang berpengetahuan, celik teknologi, berkemahiran dan berdaya saing, pembangunan itu tidak akan mampu dipertahankan dalam jangka masa panjang.
"Modal insan yang berkualiti bukan sekadar lambang kebijaksanaan sesebuah kerajaan, tetapi merupakan jaminan utama untuk masa depan negeri," katanya.
Dalam pada itu, menurut Dato' Sri Diraja, TVET bukan lagi dianggap sebagai pilihan kelas kedua, sebaliknya menjadi keutamaan pihak industri yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan lebih relevan, selari dengan permintaan pasaran kerja moden.
Justeru, bagi memastikan anak Pahang memiliki kemahiran TVET, kerajaan negeri Pahang menyediakan peruntukan sebanyak RM3.5 juta kepada Pahang Skills bagi menyediakan infrastruktur, penyenggaraan dan naik taraf kemudahan latihan.
"Sebanyak RM1 juta lagi diperuntukkan kepada Pahang Skills bagi program padanan industri melalui TVET Pahang Talent Development.
"Peruntukan itu bertujuan memastikan graduan dan pekerja yang tiada sijil kemahiran dapat meningkatkan kebolehpasaran mereka dan mengisi peluang pekerjaan berkualiti," katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan Pahang menubuhkan Akademi Rel Pahang dengan peruntukan awal RM1 juta sebagai usaha memacu modal insan tempatan
- Akademi ini terletak di Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) dan berperanan sebagai pusat utama latihan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi
- Inisiatif ini menyediakan peluang kepada anak-anak Pahang untuk memasuki industri rel dengan latihan khusus termasuk pembangunan soft skills dan kompetensi teknikal
- Penubuhan akademi ini selaras dengan teras belanjawan negeri untuk meningkatkan taraf Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)
- Kerajaan negeri Pahang menyediakan peruntukan sebanyak RM3.5 juta kepada Pahang Skills untuk infrastruktur latihan TVET dan RM1 juta lagi untuk program padanan industri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

