RM7 juta rebat bayaran balik PTPTN untuk anak Pahang

Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail ketika sesi pembentangan Belanjawan negeri pada persidangan DUN di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.
Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail ketika sesi pembentangan Belanjawan negeri pada persidangan DUN di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN – Golongan belia dan mahasiswa di Pahang menerima khabar gembira apabila kerajaan negeri mengumumkan rebat bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam Belanjawan negeri kali ini.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak RM7 juta disediakan di bawah Program Apresiasi Pahang 1st bagi pengurangan bayaran balik PTPTN Ijazah Pertama untuk anak Pahang yang baharu bekerja bermula pada 2025.

Menurutnya, inisiatif itu untuk meringankan beban hutang dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi golongan muda.

"Program Apresiasi Pahang 1st sebagai satu wadah tanda terima kasih, penghargaan yang mengalir kembali kepada rakyat dalam bentuk manfaat yang boleh dirasa, disentuh dan dinikmati semua lapisan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.

Bagi menjayakan program ini, Dato’ Sri Diraja menjelaskan sebanyak RM100 juta diperuntukkan melalui pelbagai jabatan negeri, termasuk Majlis Sukan Pahang (MSP), Sekretariat Apresiasi Pahang 1st dan Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP).

Ujarnya, pelaksanaan program merangkumi manfaat menyeluruh kepada setiap segmen masyarakat melalui lapan komponen utama.

Dato’ Sri Diraja menambah, antara program yang diperkenalkan ialah pembangunan sukan, belia dan badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negeri dengan peruntukan RM18.98 juta.

"Seterusnya, program muhibah dan perpaduan menerima RM32.9 juta. Bantuan kebajikan turut disediakan untuk ibu tunggal, warga emas, anak yatim, pesakit kronik dan orang kurang upaya (OKU) dengan jumlah RM11 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi dan keusahawanan dengan peruntukan RM7 juta, termasuk program Pahang Apprentice Nelayan bersama Yayasan Pahang (RM1 juta) bagi melahirkan nelayan moden yang berdaya saing.

"Bagi program kesenian kebudayaan dan warisan pula membabitkan RM5.49 juta dan salah satu program Ikon Aspirasi Pahang1st sebanyak RM1juta.

"Peluang pekerjaan bagi golongan muda turut diperluaskan melalui penganjuran Pahang 1st Job Fair di setiap zon negeri dengan peruntukan RM1 juta, bertujuan mengurangkan kadar pengangguran dan menyediakan pekerjaan baharu," jelasnya.

Bagi mengukuhkan asas kepimpinan dan jati diri belia, Dato’ Sri Diraja berkata, sebanyak RM2 juta diperuntukkan untuk meneruskan Program Pahang Lead manakala RM4 juta disediakan bagi Akademi Pahang 1st untuk penganjuran program ilmiah dan strategik yang memperkukuh pendidikan kenegaraan.

"Kerajaan Negeri Pahang turut menyediakan RM9 juta bagi pemberian sumbangan RM400 kepada pelajar IPTA seluruh negara dan pelajar IPTS yang berdaftar dengan kerajaan negeri di bawah Kluster Pelajar dalam Inisiatif Makmur Pahang,” katanya.

Menyentuh pembangunan kreatif dan sukan, Dato’ Sri Diraja memaklumkan pembangunan bakat kreatif disokong melalui RM300,000 bagi program Karya Anak Pahang dan Dana Media Kreatif.

 

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan negeri Pahang mengumumkan rebat bayaran balik pinjaman PTPTN untuk golongan belia dan mahasiswa
  • RM7 juta disediakan untuk pengurangan bayaran balik PTPTN bagi anak Pahang yang baharu bekerja bermula 2025
  • Inisiatif ini bertujuan untuk meringankan beban hutang dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi golongan muda
  • Sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk pelbagai program pembangunan meliputi sukan, belia, NGO, muhibah dan perpaduan
  • Kerajaan negeri juga memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi, keusahawanan, pekerjaan golongan muda serta bantuan kebajikan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!