Vila putih bernilai hampir RM1 juta boleh runtuh bila-bila masa

KUALA NERUS - Sebuah vila putih yang dibina sebagai inap desa dan pusat berkumpul keluarga kini berada pada tahap kritikal dan berisiko runtuh pada bila-bila masa berikutan fenomena hakisan yang berterusan melanda Pantai Sauh, Kampung Mengabang Lekor di Batu Rakit.
Pemiliknya, Nor Azman Abdul Manan, 60, berkata, kediaman mewah empat bilik bernilai hampir RM1 juta itu dibina pada 2017 dengan kos keseluruhan kira-kira RM800,000.
Menurutnya, kedudukan vila itu semakin tidak selamat apabila ombak besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan hakisan teruk sehingga menghampiri kediaman itu.

"Jarak menghala ke pesisir pantai sebelum ini lebih kurang 100 meter, sekarang hilang sepenuhnya dan struktur rumah juga terjejas.
“Sejak dua tiga tahun ini, ombak besar datang berturut-turut. Hakisan jadi cepat sangat, kita tengok sendiri tanah hilang sedikit demi sedikit," katanya ketika diihubungi di sini pada Isnin.
Nor Azman menjelaskan, dia menjalankan kerja-kerja baik pulih kediaman itu pada 2023 namun menghentikannya memandangkan keadaan semakin bahaya.
"Bila tengok keadaan rumah sekarang, memang sedih tetapi apa boleh buat, reda sahajalah.
"Setiap kali Monsun Timur Laut (MTL) melanda, angin kencang dan ombak tinggi menghakis tebing pantai sehingga menyebabkan lantai dan dinding rumah mula mengendur dan retak," ujarnya.
Menurutnya, situasi itu dikhuatiri turut menimpa rumah-rumah lain yang terletak berdekatan pantai.

"Kaedah penyelesaian jangka panjang dan kajian lebih terperinci amat diperlukan bagi mengelak kerugian lebih besar dialami penduduk.
"Bukan saya seorang. Ada banyak lagi rumah penduduk yang semakin dekat dengan kawasan pantai. Kalau dibiarkan, saya takut lebih banyak kerugian berlaku.
"Dalam keadaan begini, pembinaan benteng pemecah ombak atau struktur mitigasi yang lebih kukuh amat diperlukan bagi mengurangkan impak ombak yang melanda kawasan ini saban tahun," katanya.
Villa putih itu sebelum ini tular di media sosial selepas seorang individu membuat naik gambar struktur bangunan yang hampir runtuh sepenuhnya akibat hakisan pantai.
Ringkasan AI
- Vila putih di Pantai Sauh, Kampung Mengabang Lekor terancam runtuh akibat hakisan pantai
- Pemilik, Nor Azman Abdul Manan, menyatakan kediaman mewah itu dibangun pada 2017 dengan kos hampir RM800,000
- Hakisan teruk berlaku akibat ombak besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menghampiri kediaman tersebut
- Nor Azman telah menghentikan kerja-kerja baik pulih pada 2023 kerana keadaan yang semakin bahaya
- Menyarankan pembinaan benteng pemecah ombak atau struktur mitigasi untuk mengurangkan impak ombak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
