Belanjawan Negeri Pahang 2026: Pembinaan log boom di Empangan Chereh bagi sumber air mentah

Dato' Sri Diraja Wan Rosdy pada sesi pembentangan Belanjawan Negeri 2026 pada persidangan DUN di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.
Dato' Sri Diraja Wan Rosdy pada sesi pembentangan Belanjawan Negeri 2026 pada persidangan DUN di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN – Pembinaan struktur benteng khas dikenali log boom di Empangan Chereh, Sungai Lembing merupakan antara langkah proaktif Kerajaan Pahang bagi melindungi sumber air mentah dan memastikan bekalan air bersih yang berkualiti kepada rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak RM1.44 juta telah disalurkan kepada badan kawal selia air bagi tujuan tersebut.

“Peruntukan itu digunakan untuk membina log boom bagi memerangkap halangan di sungai, memasang sistem pemantauan kualiti secara dalam talian serta menjalankan penyelenggaraan ke atas kemudahan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2026 bertemakan ‘Pahang 1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan’ yang menggariskan tujuh teras utama pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang, di sini, pada Jumaat.

Terdahulu, Dato’ Sri Diraja menjelaskan bahawa siling peruntukan bagi projek bekalan air 2026–2030 di bawah Rancangan Negeri Pahang berjumlah RM716.05 juta yang merangkumi pembinaan infrastruktur baharu dan naik taraf sistem sedia ada.

Menurut beliau, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) akan menerima peruntukan sebanyak RM64.54 juta pada tahun 2026 bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan, mengurangkan kehilangan air tidak terhasil (NRW) dan memastikan bekalan air yang lebih stabil serta berkualiti.

Dato’ Sri Diraja turut menambah bahawa kerajaan negeri melalui PAIP telah melaksanakan Program Air Percuma Pahang 1st bagi setiap 20 meter padu pertama.

“Langkah ini bertujuan membantu golongan B40 menikmati air terawat percuma dan mengurangkan beban bil isi rumah.

“Pada tahun 2025, sebanyak RM4.6 juta telah disediakan, manakala bagi tahun 2026 pula, sebanyak RM7.3 juta atau peningkatan sebanyak 58.7 peratus akan diberikan kepada 38,000 pengguna,” ujar beliau semasa sesi pembentangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa keutamaan turut diberikan dalam usaha mengurangkan risiko bencana banjir melalui pendekatan menyeluruh termasuk kerja-kerja mitigasi, pemuliharaan dan pembangunan infrastruktur saliran.

Menurutnya, sebanyak RM52.23 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pahang (JPS) bagi melaksanakan projek pengurangan risiko banjir, hakisan pantai dan pemulihan muara sungai.

“Kerajaan negeri turut memperkukuh sokongan dengan kerajaan Persekutuan melalui peruntukan sebanyak RM188 juta bagi projek tebatan banjir berskala besar, pemuliharaan koridor sungai, kerja-kerja menstabilkan hakisan pantai, naik taraf infrastruktur pengairan serta kajian dan pembangunan sistem saliran mesra alam.

“Bagi pihak kerajaan negeri pula, sebanyak RM11.16 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir Daerah dan Projek Pengurusan Lembangan Sungai sebagai langkah meningkatkan keselamatan, ketahanan dan kesejahteraan komuniti,” katanya.

Kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM5.3 juta bagi projek pembangunan saliran bandar bagi memastikan infrastruktur saliran yang lebih tersusun, moden dan mampu menyokong pembangunan bandar yang lestari serta mesra alam.

Ringkasan AI

  • KUANTAN – Pembinaan log boom di Empangan Chereh, Sungai Lembing adalah langkah melindungi sumber air
  • Sejumlah RM1.44 juta disalurkan untuk membangun log boom, memasang sistem pemantauan, dan penyelenggaraan
  • Peruntukan RM716.05 juta untuk infrastruktur air baharu dan naik taraf sistem sedia ada bagi 2026-2030
  • Program Air Percuma Pahang 1st menyediakan air terawat percuma untuk golongan B40, RM7.3 juta diperuntukkan pada 2026
  • RM52.23 juta diperuntukkan untuk mengurangkan risiko bencana banjir melalui pendekatan menyeluruh dan pembangunan infrastruktur saliran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!