Pahang umum Belanjawan 2026 lebihan RM5 juta

Dato' Sri Diraja Wan Rosdy (depan, dua dari kanan) bersama barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang menunjukkan buku Belanjawan Pahang 2026 yang dibentangkan pada Jumaat.
Dato' Sri Diraja Wan Rosdy (depan, dua dari kanan) bersama barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang menunjukkan buku Belanjawan Pahang 2026 yang dibentangkan pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan 'Pahang 1st : Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan’ dengan anggaran lebihan RM5 juta.

Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri menyasarkan kutipan hasil mencecah RM1.279 bilion tahun hadapan.

Menurutnya, unjuran kutipan hasil itu meningkat kira-kira tujuh peratus berbanding Belanjawan 2025.

"Daripada jumlah itu, RM1.274 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus merangkumi perbelanjaan emolumen; perkhidmatan dan bekalan; pemberian dan kenaan bayaran tetap; perbelanjaan lain dan aset dengan peningkatan RM91.83 juta atau 7.76 peratus berbanding tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Pembentangan Belanjawan Pahang 2026 pada Sidang Dewan Negeri di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.

Dato' Sri Diraja Wan Rosdy berkata, bagi menampung perbelanjaan pembangunan negeri dan memastikan kelancaran pelaksanaan projek, peruntukan RM446.26 juta disediakan iaitu kenaikan 11.67 peratus daripada peruntukan pembangunan tahun 2025.

"Di kesempatan ini, saya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Persekutuan atas kelulusan 15 buah projek dan inisiatif untuk Pahang menerusi Belanjawan 2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat 10 Oktober lalu," katanya.

Sementara itu beliau berkata, kutipan hasil kerajaan negeri berada pada tahap membanggakan apabila terus melepasi angka RM1 bilion untuk empat tahun berturut-turut sejak 2022.

Menurutnya, kejayaan itu hasil tadbir urus dinamik, pengukuhan kutipan hasil, keberkesanan usaha mengawal ketirisan serta lonjakan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

"Ia selari dengan rekod Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang yang meningkat 23 peratus dalam tempoh 2019 hingga 2024 hasil daripada dasar pembangunan negeri yang strategik dan mampan.

"Tahun lalu, Pahang mencatat pertumbuhan KDNK 5.7 peratus melepasi paras nasional 5.1 peratus dengan nilai 68.7 bilion ringgit yang dipacu oleh sektor perkhidmatan, pembuatan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian," katanya.

Tambah beliau lagi, syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) turut memainkan peranan penting dengan menyumbang RM3.16 bilion atau 4.6 peratus kepada KDNK Pahang tahun lalu.

"Kenaikan KDNK ini didorong pertumbuhan ekonomi yang kukuh, kemasukan pelabur yang konsisten serta peningkatan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

"Dalam aspek pelaburan, Pahang terus menjadi destinasi pilihan di mana sehingga November tahun ini, jumlah pelaburan komited yang masuk RM18.04 bilion melebihi sasaran RM14.09 bilion.

"Ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap keupayaan negeri mengurus kestabilan politik dan iklim perniagaan yang kondusif," ujar Dato'Sri Diraja lagi.

Beliau berkata, dalam aspek tenaga buruh, jumlah guna tenaga di Pahang meningkat kepada 788,800 orang pada suku ketiga tahun ini berbanding 768,600 orang pada tahun 2024.

Menurutnya, kadar pengangguran pula menurun daripada 16,700 orang atau 2.2 peratus pada tahun 2024 kepada 13,800 orang atau 1.7 peratus pada suku ketiga tahun 2025, hasil limpahan peluang pekerjaan melalui pelaburan yang rancak serta pembangunan ekonomi yang berterusan.

Ringkasan AI

  • Kerajaan negeri Pahang membentangkan Belanjawan 2026 dengan lebihan RM5 juta
  • Kutipan hasil negeri dijangka mencapai RM1.279 bilion, meningkat tujuh peratus dari tahun sebelumnya
  • Perbelanjaan mengurus ditetapkan pada RM1.274 bilion, naik 7.76 peratus daripada tahun ini
  • Peruntukan pembangunan bertambah 11.67 peratus kepada RM446.26 juta dari tahun 2025
  • KDNK Pahang meningkat 23 peratus dari 2019 hingga 2024, melepasi pertumbuhan ekonomi nasional

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!