Derita hidup 58 tahun tanpa kad pengenalan

Shaharuddin menunjukkan surat beranak yang menjadi penyelemat dalam beberapa urusan penting kehidupannya. Foto Sinar Harian/ Adila Sharinni Wahid
Shaharuddin menunjukkan surat beranak yang menjadi penyelemat dalam beberapa urusan penting kehidupannya. Foto Sinar Harian/ Adila Sharinni Wahid
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pesawah terpaksa menjalani kehidupan serba payah sebagai warganegara tanpa pengesahan identiti apabila gagal mendapatkan kad pengenalan (MyKad) walau sudah berusia 58 tahun.

Shaharuddin Basir berkata, masalah itu bermula apabila arwah ibunya yang buta huruf tidak dapat menguruskan pendaftaran kelahirannya dengan sempurna, menyebabkan surat beranak asal tidak diletakkan namanya walaupun maklumat ibu bapa lengkap direkodkan.

Dia dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan tinggal di Kampung Gunung Keting, Bachok.

Ibunya, Zawiah Musa berasal dari kampung tersebut manakala arwah bapanya, Basir Siku bekas anggota polis dari Negeri Sembilan yang pernah bertugas di Sabah.

“Masa saya lahir, bapa tak dapat balik, ibu tak pandai membaca. Itu yang surat beranak pun tak lengkap. Waktu dah besar, tak buat kad pengenalan, apabila mohon lewat proses makin rumit.

“Semua urusan jadi susah, kahwin pun pakai surat beranak, dulu mungkin boleh tapi sekarang makin susah semua nak kad pengenalan, bantuan dari kerajaan, SARA RM100, Budi Ron95 semua tak boleh tuntut sebab tak ada kad pengenalan,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Melor di sini pada Jumaat.

Menurut Shaharuddin, dia pertama kali memohon untuk mendapatkan kad pengenalan ketika ingin menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada usia 15 tahun dan diberikan slip khas sementara oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membolehkan dia mengambil peperiksaan.

Kata bapa 10 anak itu, waktu tersebut juga barulah namanya ‘Shaharuddin Basir’ dimasukkan ke dalam surat beranak baharu.

“Waktu nak ambil Sijil Pelajaran Malaysia, mohon lagi, tapi tiba-tiba slip sementara tu dikatakan tak laku.

Artikel Berkaitan:

“Sekali lagi, ambil peperiksaan guna surat beranak sampailah waktu bekerja di sebuah syarikat perkapalan di Kuantan, Pahang, rumah saya dipecah masuk dan kaki kad pengenalan hilang dicuri bersama dompet,” katanya.

Shaharuddin (kiri) dan isterinya, Nur Mariani Abdul Rahmah (kanan) melihat slip permohonan kad pengenalan terkini. Foto Sinar Harian/ Adila Sharinni Wahid
Shaharuddin (kiri) dan isterinya, Nur Mariani Abdul Rahmah (kanan) melihat slip permohonan kad pengenalan terkini. Foto Sinar Harian/ Adila Sharinni Wahid

Shaharuddin menceritakan kejadian pada 1990 itu menambah, kepayahannya dan walaupun sudah empat kali memohon, bagaimanapun hasil diterima hampa termasuk permohonannya didakwa tiada dalam rekod JPN.

Kali terakhir memohon pada Februari lalu dan akhirnya dia dipanggil temu siasat oleh jabatan itu pada 9 Julai lepas.

Dia juga menjalani ujian DNA di Hospital Raja Perempuan Zainab II yang kemudian dihantar ke Pejabat Kimia Terengganu untuk dianalisis.

Ujar Shaharuddin, keadaanya itu juga menjejaskan pelbagai urusan penting termasuk tidak boleh memiliki lesen memandu, mengundi mahupun menebus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dia berkata, sepanjang hidupnya hanya surat beranak digunakan sebagai dokumen pengenalan termasuk ketika bekerja tiga tahun di anak syarikat Permodalan Nasional Berhad di Kuala Lumpur pada awal 1990-an.

Dia berkata, mujurlah kesemua anaknya semua lengkap surat beranak dan kad pengenalan.

Justeru, Shaharuddin merayu JPN agar segera meluluskan dan mengeluarkan MyKad untuknya.

“Saya kecewa, dah macam warga asing, lahir di hospital kerajaan, ibu bapa warganegara, adik-beradik semua ada kad pengenalan.

“Cuma saya seorang saja begini, sampai umur 58 tahun, saya masih perlu buktikan saya rakyat negara ini,” katanya.

Sementara itu, maklum balas daripada JPN berhubung kes ini sedang diusahakan.

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang pesawah berusia 58 tahun hidup serba payah kerana tidak memiliki kad pengenalan (MyKad)
  • Masalah ini bermula apabila ibunya yang buta huruf gagal menguruskan pendaftaran kelahiran dengan sempurna
  • Dia dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan berasal dari Kampung Gunung Keting, Bachok
  • Shaharuddin gagal mendapat MyKad walaupun telah beberapa kali memohon sejak usia 15 tahun
  • Dia menjalani ujian DNA sebagai sebahagian daripada proses permohonan MyKad terakhir

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!