Anak muda penentu masa depan

Hampir 40 peratus daripada keseluruhan pengundi Sabah adalah golongan muda. Gambar hiasan
Hampir 40 peratus daripada keseluruhan pengundi Sabah adalah golongan muda. Gambar hiasan
A
A
A

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 menutup tirai dengan satu realiti yang tidak boleh dipandang remeh.

Hampir separuh pengundi di negeri ini terdiri daripada golongan muda tetapi ramai di antara mereka gagal menunaikan tanggungjawab mengundi.

Fenomena ini bukan sekadar persoalan tentang kehadiran di pusat mengundi, tetapi melambangkan keengganan mengambil bahagian dalam menentukan masa depan Sabah dan negara.

Langkah penting telah diambil di peringkat nasional untuk mengiktiraf peranan generasi muda dalam pembinaan negara bangsa.

Pindaan umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik yang diwartakan memberi kuasa besar kepada golongan muda.

Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa hampir 40 peratus daripada keseluruhan pengundi Sabah adalah golongan muda.

Dengan peratusan sebegini, secara teori, generasi muda mempunyai kuasa besar untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya, khususnya di kerusi marginal.

Namun realitinya, peratusan keluar mengundi dalam kalangan mereka kekal rendah.

Mengapa golongan yang diberikan hak kenegaraan secara meluas dengan akses maklumat tanpa batasan masih belum menterjemahkan kelebihan tersebut di peti undi? Jawapannya berlapis, melibatkan faktor struktural, psikologi dan sosial yang semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

Pertama, mobiliti tinggi golongan muda Sabah memberi kesan langsung terhadap turnout. Ramai anak muda bekerja atau menuntut di Semenanjung, Sarawak, malah luar negara seperti Singapura, menjadikan kos dan masa untuk pulang mengundi terlalu tinggi.

Kedua, keletihan politik membentuk sikap 'undi saya tidak mengubah apa-apa'. Pertukaran kerajaan yang kerap, konflik politik dalaman dan janji-janji yang tidak ditepati mengakibatkan generasi muda bosan dengan retorik kosong.

Ketiga, isu sosioekonomi harian lebih dekat dengan kehidupan generasi muda berbanding debat politik abstrak. Gaji permulaan rendah, peluang pekerjaan terhad, kos sara hidup meningkat, capaian internet perlahan dan pembangunan infrastruktur yang tidak memadai menjadikan mereka lebih fokus kepada survival dan pembangunan diri. Naratif politik yang bersifat nasional gagal menarik minat golongan ini.

Keempat, kekurangan pendidikan pengundi yang berkesan turut menyumbang kepada turnout rendah. Kurangnya usaha sistematik daripada SPR dan parti politik untuk mendidik pengundi muda melalui media sosial, bahasa mudah, video ringkas, infografik, simulasi proses mengundi dan bahan penerangan dalam bahasa tempatan, menyebabkan politik dilihat 'asing' dan jauh daripada kehidupan mereka.

Kelima, kurangnya figura kepimpinan yang mampu menarik minat generasi muda turut melemahkan motivasi mereka.

Keenam, anak muda semakin jauh daripada proses pengundian kerana mereka tidak melihat calon yang benar-benar dekat dengan realiti hidup mereka. Ramai calon yang diketengahkan masih wajah lama, tidak dikenali, kurang rekod prestasi meyakinkan dan gagal menunjukkan komitmen terhadap isu yang dekat di hati generasi muda.

Dalam konteks ini, kesedaran tanggungjawab kenegaraan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 amat penting. Anak muda perlu sedar bahawa hak mengundi bukan sekadar hak, tetapi tanggungjawab moral untuk memastikan suara mereka didengar dan masa depan negara dibentuk oleh generasi yang sedar akan kuasanya.

Peranan SPR dan jentera parti menjadi sangat penting. SPR perlu memperkasa pendidikan pengundi secara lebih agresif.

Belia perlu diyakinkan bahawa undi mereka bukan sekadar simbol tetapi instrumen perubahan. Pemuda bukan sekadar pewaris, mereka penentu masa depan.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Putrajaya

Ringkasan AI

  • Hampir separuh pengundi di Sabah adalah golongan muda tetapi kebanyakan gagal menunaikan tanggungjawab mengundi
  • Langkah penting diambil dengan mengiktiraf peranan generasi muda melalui pindaan umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun
  • Peratusan keluar mengundi dalam kalangan generasi muda kekal rendah walaupun mempunyai hak kenegaraan dan akses maklumat
  • Faktor keletihan politik, isu sosioekonomi, dan kurang pendidikan pengundi berkesan menyebabkan turnout rendah
  • Kurangnya figura kepimpinan yang mampu menarik minat generasi muda menyumbang kepada keengganan mengundi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!