PRN Sabah: PN perlu rekalibrasi tegas

PN berisiko tinggi untuk mengalami nasib yang lebih buruk pada PRU16, bukan sahaja di Sabah tetapi juga di seluruh negara. Gambar kecil: Nur Ayuni
PN berisiko tinggi untuk mengalami nasib yang lebih buruk pada PRU16, bukan sahaja di Sabah tetapi juga di seluruh negara. Gambar kecil: Nur Ayuni
A
A
A

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang baru berakhir memberikan satu isyarat politik yang sangat jelas kepada Perikatan Nasional (PN), khususnya kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Data keputusan menunjukkan bahawa masalah utama PN bukan terletak pada kelemahan blok lawan, tetapi berpunca daripada krisis dalaman, kelemahan strategi serta kegagalan struktur kepimpinan dalam parti terasnya sendiri.

Dalam konteks ini, Pas muncul sebagai komponen yang paling stabil dan efektif sementara Bersatu semakin dilihat sebagai liabiliti yang menghakis keupayaan PN untuk tampil sebagai alternatif yang meyakinkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Dari sudut angka, prestasi PN di Sabah amat mengecewakan. Daripada 42 calon yang diturunkan, hanya satu kerusi dimenangi, iaitu N16 Karambunai melalui calon Pas, Datuk Dr Aliakbar Gulasan yang meraih 7,054 undi.

Bersatu, sebagai parti yang meletakkan calon paling ramai iaitu 33 orang, bukan sahaja gagal memenangi sebarang kerusi, malah 30 calonnya hilang deposit dengan 17 daripadanya memperoleh kurang daripada 500 undi.

Gerakan pula meletakkan tiga calon dan kesemuanya juga hilang deposit.

Secara keseluruhan, keputusan ini membuktikan bahawa sokongan pengundi terhadap PN berada pada tahap membimbangkan dan beban utama kejatuhan itu jelas berpunca daripada prestasi Bersatu sendiri.

Sebaliknya, Pas menunjukkan pola prestasi yang jauh lebih konsisten. Daripada enam calon yang diturunkan, seorang menang, dua kalah tetapi tidak hilang deposit, manakala tiga lagi hilang deposit namun masih memperoleh undi melebihi 500.

Lebih signifikan, kemenangan di Karambunai bukan sahaja merupakan kerusi pertama Pas di Sabah sejak penubuhan Pas Sabah pada 1986, malah mengesahkan keupayaan jentera parti itu menembusi kerusi bercirikan demografi campuran yang kompleks.

Artikel Berkaitan:

Ini menandakan bahawa Pas tidak lagi terhad kepada medan tradisionalnya, bahkan mempunyai potensi untuk menjadi tulang belakang sebenar PN dalam konteks politik nasional dan negeri, termasuk di Sabah.

Dari perspektif sains politik, keputusan PRN Sabah menunjukkan keterangkuman beberapa kegagalan struktural dalam Bersatu.

Pertama, imej kepimpinan parti dilihat lemah dan berpecah. Pertelagahan terbuka dalam isu Akuan Bersumpah (SD) 120 ketua bahagian, pergolakan antara tokoh-tokoh utama seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta ancaman tindakan disiplin dan pemecatan terhadap pemimpin dan ketua bahagian sendiri menimbulkan persepsi bahawa Bersatu sedang mengalami “perang saudara” dalaman.

Konflik yang berlarutan ini bukan sekadar mencemarkan reputasi parti, malah merosakkan keutuhan jentera di peringkat akar umbi.

Kedua, keputusan untuk memecat dan menggantung Ahli-ahli Parlimen serta Ketua-ketua Bahagian Bersatu adalah tindakan yang bukan sahaja tidak bijak dari sudut strategi politik, bahkan boleh disifatkan sebagai langkah yang hampir bersifat auto-sabotaj.

Tindakan disiplin yang keras dan tidak diimbangi dengan pertimbangan taktikal telah mengakibatkan penyusutan kekuatan organisasi, melemahkan jaringan sokongan di lapangan dan menambah persepsi bahawa parti berada dalam keadaan tidak stabil.

Dalam konteks pilihan raya, jentera yang retak, kepimpinan yang bercanggah dan naratif yang keliru hampir pasti membawa kepada keputusan seperti yang disaksikan di Sabah: kekalahan besar-besaran dan kehilangan deposit secara meluas.

Ketiga, pendekatan kempen dan pemilihan calon Bersatu jelas tidak sejajar dengan realiti sosiopolitik Sabah. Calon-calon yang ditampilkan tidak cukup dikenali, tidak mempunyai kekuatan akar umbi yang mapan dan tidak disokong oleh jentera yang mantap.

Ini berbeza dengan Pas yang, walaupun bukan parti arus perdana di Sabah, berjaya memanfaatkan kekuatan organisasinya yang tersusun, disiplin jentera yang tinggi serta imej parti yang lebih konsisten dan tidak dibayangi skandal dalaman yang berpanjangan.

Kemenangan Pas di Karambunai menjadi bukti nyata bahawa bila jentera parti tersusun, mesej politik jelas dan kepimpinan dilihat stabil, pengundi bersedia memberi peluang walaupun Pas dianggap sebagai “parti Semenanjung”.

Dalam kerangka lebih luas, prestasi Bersatu di Sabah tidak boleh dipisahkan daripada kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) sebagai peneraju PN dan Presiden Bersatu.

Sumbangan beliau pada fasa awal pembentukan PN serta peranan semasa krisis politik 2020 tidak boleh dinafikan.

Namun, politik ialah medan yang dinamik dan ditentukan oleh keupayaan semasa, bukan nostalgia.

Realiti hari ini menunjukkan bahawa di bawah kepimpinan TSMY, PN tidak lagi mampu mengekalkan momentum sokongan rakyat sebagaimana sebelum ini.

Usia kepimpinan yang semakin lanjut, digandingkan dengan keletihan politik (political fatigue) serta ketidakupayaan untuk menyelesaikan konflik dalaman Bersatu, menjadikan kedudukan beliau sebagai “wajah utama” PN semakin sukar dipertahankan dari sudut rasional politik.

Sebaliknya, Pas berada pada posisi yang jauh lebih kukuh untuk mengemudi proses rejuvenasi PN.

Dengan 43 kerusi Parlimen, penguasaan ke atas empat kerajaan negeri, jentera parti yang mantap, rekod pentadbiran yang panjang di Kelantan, Terengganu dan Kedah, serta imej kepimpinan yang relatif stabil, Pas memiliki legitimasi politik serta keupayaan organisasi untuk mengisi vakum kepimpinan dalam PN.

Dalam konteks PRN Sabah, prestasi Pas yang lebih cemerlang berbanding Bersatu dan Gerakan mengukuhkan lagi hujah bahawa gabungan ini hanya boleh diselamatkan melalui peralihan kepimpinan daripada Bersatu kepada Pas, sekurang-kurangnya dalam bentuk model kepimpinan bersama atau pelantikan Pas sebagai peneraju utama PN di peringkat pusat dan negeri-negeri di mana Pas mempunyai kekuatan.

Sabah sendiri boleh dijadikan contoh bagaimana Pas, dengan organisasi yang lebih teratur, boleh menjadi “anchor party” kepada PN di peringkat negeri berbanding Bersatu yang terbukti gagal.

Sehubungan itu, adalah wajar dan rasional untuk menegaskan bahawa PN tidak boleh menangguhkan proses reformasi dalamannya.

Menunggu laporan post-mortem secara formal hanya akan melambatkan tindakan sedangkan punca kelemahannya adalah jelas: kepimpinan Bersatu yang lemah dan berpecah, strategi pemilihan calon serta kempen yang tidak berkesan, tindakan disiplin yang tidak strategik dan ketiadaan naratif besar yang memposisikan PN sebagai opsyen stabil berbanding kerajaan sedia ada.

Sekiranya kelemahan ini tidak diperbetulkan segera, PN berisiko tinggi untuk mengalami nasib yang lebih buruk pada PRU16, bukan sahaja di Sabah tetapi juga di seluruh negara.

Dari sudut kepentingan jangka panjang, PN memerlukan suatu “recalibration” yang tegas dan berprinsip.

TSMY masih perlu diberi penghormatan sebagai tokoh pengasas, tetapi pada masa yang sama beliau perlu bijak menyelesaikan isu dalaman Bersatu selain mengurangkan fungsi operasional dan lebih fokus memberikan panduan strategik.

Kedua, konflik dalaman Bersatu antara kelompok yang menyokong Azmin, Hamzah dan tokoh-tokoh lain perlu diselesaikan melalui proses institusi yang teratur, bukannya melalui pemecatan dan penggantungan yang bersifat reaktif dan merosakkan.

Ketiga, PN perlu menyusun semula struktur kepimpinan dengan memberi ruang lebih besar kepada Pasuntuk memimpin naratif politik gabungan.

Ini boleh dilakukan melalui pelantikan pemimpin Pas sebagai pengerusi PN di peringkat nasional serta pengukuhan peranan Pas di negeri-negeri di mana parti itu mempunyai kekuatan signifikan.

Langkah sebegini bukan sahaja sesuai dengan realiti komposisi kerusi Parlimen dan DUN, malah menghantar isyarat positif kepada pengundi bahawa PN bersedia berubah, bersifat inklusif dan menjunjung prinsip merit politik.

Ringkasnya, PRN Sabah perlu dijadikan asas untuk menggerakkan agenda rejuvenasi menyeluruh yang diketuai oleh Pas sebagai teras utama demi memastikan PN kekal relevan dan mampu menawarkan alternatif yang stabil, berwibawa dan meyakinkan kepada rakyat menjelang PRU16.

Tanpa perubahan ini, PN berkemungkinan besar hanya akan menjadi satu catatan singkat dalam sejarah politik Malaysia.

*Dr Nur Ayuni Mohd Isa ialah pensyarah kanan dan penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), dan kini sedang menjalani penyelidikan pasca doktoral di Jabatan Politik dan Pengajian Antarabangsa, Pusat Asia Tenggara (SEAC), School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!