'Ronald dan Hamzah patut dipertanggungjawabkan, bukan Muhyiddin' - 8 Ketua Bersatu Sabah

KOTA KINABALU - Tanggungjawab prestasi Perikatan Nasional (PN) yang kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Dalam kenyataan bersama lapan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menegaskan bahawa tanggungjawab penuh prestasi PN itu juga bukan diletakkan kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak.
"Untuk makluman, semalam barisan calon dan Ketua Bahagian telah dipanggil oleh Setiausaha Badan Pimpinan Negeri (BPN) Sabah, Yunus Nordin ke Pejabat Bersatu negeri untuk memberikan laporan pasca pilihan raya (post-mortem).
"Namun, sebaik tiba, mereka diminta menandatangani satu dokumen mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan, sesuatu yang langsung tidak berkaitan dengan tujuan asal pertemuan tersebut dan amat tidak beretika," katanya.
Dalam kenyataan itu turut berkata, kenyataan Yunus bukan mewakili kelapan-lapan Ketua Bahagian tersebut dan mereka turut menegaskan beberapa perkara.
"Pengerusi PN Sabah serta Pengarah Pilihan Raya adalah pihak yang bertanggungjawab terhadap segala urusan persiapan, strategi dan keputusan PRU Sabah.
"Justeru, mereka perlu membentangkan dapatan post-mortem kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan menjawab sebarang perkara yang dibangkitkan oleh mana-mana pihak, termasuk oleh sejumlah individu di dalam sidang media yang diadakan itu.
"Pihak yang bertanggungjawab mengurus PRN di peringkat negeri perlu menjelaskan kepada akar umbi mengenai prestasi PN dalam PRN Sabah, bukan mengalihkan tanggungjawab kepada pihak lain yang tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan pilihan raya negeri," katanya.
Kata kenyataan itu lagi, Yunus sepatutnya membantu Pengerusi PN Sabah dan Pengarah Pilihan Raya menyiapkan laporan 'post-mortem' secepat mungkin.
"Tindakan beliau mengadakan sidang media untuk menuding jari sebelum laporan tersebut disiapkan adalah tidak wajar dan menjejaskan kredibiliti parti.
"Tindakan Yunus, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), mengadakan sidang media tanpa merujuk dan tanpa menunggu laporan lengkap post-mortem, adalah satu bentuk ketidakbertanggungjawaban serta pelanggaran disiplin parti.
"Kami menggesa agar kepimpinan Bersatu dan PN Negeri Sabah memikul tanggungjawab atas prestasi PN dalam PRN17 dengan penuh integriti dan tidak mempolitikkannya. Mereka juga tidak wajar menjadikan sebarang pihak sebagai sasaran untuk menutup kelemahan sendiri," katanya.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Bahagian Lahad Datu, Ahmad Ali Akbar Khan Gulan; Ketua Bahagian Kota Belud, Jupri Omar; Ketua Bahagan Papar, Faizal Julaili; Ketua Bahagian Kalabakan, Ekbal Khalid; Ketua Bahagian Ranau, Abidin Sahat; Ketua Bahagian Kimanis, Amat Yusof; Ketua Bahagian Kinabatangan, Mazmin Mazin dan Ketua Bahagian Sipitang, Ramli Ag Said.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
