Adik maut ditetak abang sendiri

SANDAKAN - Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai akibat ditetak oleh abangnya sendiri dalam kejadian di sebuah rumah di Bandar Karamunting, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Ahad lalu, mangsa berusia 43 tahun ditemukan dalam keadaan berlumuran darah oleh ibunya.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian bunuh melibatkan dua beradik tersebut.
"Mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik tidur rumah berkenaan setelah ibunya mendapati pintu bilik mangsa terhalang.
"Pemeriksaan awal mendapati ketika kejadian hanya mangsa dan abangnya berada di dalam rumah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya lagi, susulan maklumat diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Sandakan menahan seorang lelaki berusia 44 tahun, iaitu abang mangsa, pada jam 8.45 malam hari yang sama.
"Suspek kemudian membawa polis dan menemukan seluar berlumuran darah serta tiga bilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
"Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami kecederaan parah akibat tetakan pada bahagian kepala, belakang telinga, perut serta tangan dipercayai menggunakan senjata tajam," katanya.
George berkata, proses bedah siasat akan dijalankan dan motif kejadian masih dalam siasatan.
"Siasatan turut mendapati jiran pernah mendengar bunyi orang mengerang pada pagi Jumaat lalu namun tidak menyangka ia berkaitan insiden itu.
"Maklumat awal juga menunjukkan suspek tidak bekerja dan dipercayai mempunyai masalah mental serta tinggal bersama keluarga di rumah berkenaan," katanya
Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki di Sandakan maut dipercayai ditetak oleh abangnya
- Mangsa berusia 43 tahun ditemukan berlumuran darah oleh ibunya
- Abang mangsa berusia 44 tahun ditahan polis
- Ditemukan seluar berlumuran darah dan tiga bilah parang
- Motif kejadian masih dalam siasatan, suspek mempunyai masalah mental
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
