Calon sedia ada lebih faham selok-belok pentadbiran - Majlis Senator Malaysia

SHAH ALAM – Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia, Datuk Dr Armand Azha Abu Hafinah menamakan enam Ahli Parlimen yang disifatkan sebagai kelompok ‘kuat bekerja’ dan wajar dipertimbangkan untuk dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh dalam rombakan Kabinet kerajaan kali ini.
Mereka ialah Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Parlimen Batu Sapi (Sabah), Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan; Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup; serta Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.
Menurut Armand Azha, kesemua tokoh berkenaan yang kini memegang jawatan timbalan menteri dilihat lebih sesuai membarisi Kabinet sekiranya kerajaan mahukan stabiliti dan keberkesanan, bukannya sekadar populariti.
"Saya yakin apabila mereka diberikan amanah dan tanggungjawab, mereka akan menggalasnya sebaik mungkin demi rakyat.
"Sebagai contoh, Shamsul Anuar pernah memegang portfolio kementerian penuh (Tenaga dan Sumber Asli), sekali gus membuktikan beliau sudah memahami selok-belok pentadbiran kementerian persekutuan. Ini memudahkan kelancaran tugas sekiranya dilantik semula," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Tambah beliau, dengan melantik individu yang mempunyai pengalaman pentadbiran, dasar dan pelaksanaan projek tidak akan terganggu akibat perubahan secara radikal, sebaliknya memberi kesinambungan.
"Mengimbangi harapan rakyat dengan realiti pentadbiran, orang awam mungkin mahukan perubahan. Namun perubahan mendadak perlu diurus dengan bijak supaya tidak menjejaskan kestabilan kementerian atau dasar nasional," ujarnya.
Armand Azha berkata, memilih nama sedia ada sebagai calon menteri penuh adalah pendekatan rasional dan memberi manfaat dalam tempoh jangka sederhana serta jangka panjang.
"Bagaimanapun, keputusan akhir mesti mengambil kira pelbagai aspek termasuk keseimbangan politik, hala tuju dasar masa depan dan keperluan semasa rakyat.
"Jika nama-nama yang saya sebutkan ini benar-benar menunjukkan prestasi serta integriti, maka mereka wajar diberi peluang," katanya..
Ringkasan AI
- Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia, Datuk Dr Armand Azha Abu Hafinah, mencadangkan enam Ahli Parlimen untuk dipertimbangkan sebagai menteri penuh
- Cadangan ini bertujuan untuk membawa stabiliti dan keberkesanan dalam kerajaan, bukannya sekadar populariti
- Antara yang dicadangkan ialah Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dari Lenggong yang pernah memegang portfolio kementerian penuh
- Memilih calon dengan pengalaman pentadbiran diharap dapat mengelakkan gangguan dalam pelaksanaan dasar dan projek
- Pemilihan nama-nama ini dianggap sebagai pendekatan rasional yang mengimbangi harapan rakyat dengan realiti pentadbiran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
