Ancaman bom palsu hanya catatan suspek agar beg tidak diganggu - Polis

SEPANG – Kejadian ancaman bom palsu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini baru-baru ini tidak melibatkan motif jenayah, sebaliknya hanya catatan suspek agar begnya tidak diganggu rakan pengajian.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari'at, berkata suspek lelaki tempatan telah direman tiga hari hingga Jumaat.
"Siasatan mendapati kejadian tidak melibatkan motif jenayah dan tindakan suspek menulis catatan tersebut adalah agar begnya tidak diganggu oleh rakan pengajian.
"Suspek telah diberi jaminan polis hari ini (Khamis) dan kertas siasatan telah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk kajian," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum itu, media melaporkan seorang individu yang mencetuskan ancaman bom palsu membabitkan pelepasan penerbangan tempatan di KLIA Terminal 1 pada Selasa telah ditahan dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan dilaporkan memaklumkan insiden itu dilaporkan pada 5.32 petang, sejurus sebelum waktu berlepas yang dijadualkan.
Pasukan Keselamatan Penerbangan telah mengaktifkan protokol respons yang diperlukan, menutup kawasan terbabit dan melakukan penyelarasan dengan pihak berkuasa berkaitan.
Pasukan Keselamatan Penerbangan bersama PDRM dan unit pemusnah bom telah menyelesaikan penilaian terperinci di lokasi kejadian.
MAHB memaklumkan bahawa semua penumpang berada dalam keadaan selamat sepanjang proses itu dan pesawat terbabit kemudian berlepas pada jam 7.19 malam.
Ringkasan AI
- Kejadian ancaman bom palsu di KLIA Terminal 1 tidak melibatkan motif jenayah tetapi bertujuan agar beg tidak diganggu Suspek lelaki tempatan telah direman tiga hari Ancaman itu disebabkan oleh catatan suspek yang tidak mahu begnya diganggu Suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara Pasukan Keselamatan Penerbangan dan PDRM telah mengaktifkan protokol respons dan semua penumpang selamat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
