RM1 bilion diperuntukkan kepada dana jaminan makanan: PM

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Dalam usaha memastikan bekalan makanan kekal terjamin dan mencukupi ketika tempoh kritikal negara dilanda wabak Covid-19, kerajaan akan memperuntukkan RM1 bilion kepada Dana Jaminan Makanan, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kerajaan juga akan terus menyalurkan pelbagai bantuan kepada petani, penternak dan nelayan termasuk dalam bentuk bantuan input pertanian, ternakan serta perikanan untuk menggalakkan pengeluaran domestik.

"Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi menyediakan kemudahan infrastruktur tempat penyimpanan dan pengagihan makanan serta program integrasi tanaman," katanya semasa mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) 2020 di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, sebagai langkah tambahan, kerajaan akan menyediakan dana khas antara RM100,000 hingga RM200,000 kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan dan Pertubuhan Nelayan Kawasan yang berdaya maju.

Ia bagi membangunkan projek agromakanan jangka pendek yang boleh mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

"Ini untuk memastikan bekalan makanan terjamin dan ia akan melibatkan peruntukan sebanyak RM64.4 juta," kata Muhyiddin. - Bernama

Artikel Berkaitan: