Mubarak usul kerajaan semak persempadanan semula Parlimen

IPOH - Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) mengemukakan usul agar kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyemak persempadanan semula kawasan Parlimen di seluruh negara.
Presidennya, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, ketika ini terdapat jurang ketara antara jumlah pengundi di beberapa negeri Semenanjung berbanding Sabah dan Sarawak yang memberi kesan terhadap keupayaan kawasan luar bandar mendapatkan pembelaan sewajarnya.
Menurutnya, beberapa kawasan Parlimen di negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang mencecah sehingga 100,000 pengundi, manakala di Sabah dan Sarawak purata hanya sekitar 63,000 orang.
"Kawasan-kawasan Parlimen luar bandar patut diberi weightage kerana keluasan dan akses mereka berbeza.
"Negara lain seperti Australia sudah lama memberikan kelebihan ini, kawasan yang kurang populasi tetapi luas, diberikan juga Parlimen.
"Jadi kita juga patut kembali menilai perkara ini. Garis panduan SPR sendiri menunjukkan kawasan luar bandar sepatutnya berada pada nisbah 60,000 hingga 70,000 pengundi bagi satu kerusi Parlimen," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Makan Malam sempena Perhimpunan Agung Tahunan Mubarak kali ke-22 dan Pelancaran Buku Tokoh Mubarak di sini pada Rabu.
Majlis dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Abdul Aziz berkata, usul yang dibentangkan dalam perhimpunan agung Mubarak itu akan dibawa kepada Majlis Perundingan Melayu (MPM) untuk dibahaskan pada kongres 13 Disember ini.
"Ada yang berfikiran jika banyak sangat Parlimen, negeri-negeri yang ramai orang Melayu akan dikawal oleh Pas.
"Tidak boleh berfikiran begitu kerana kenyataan hakikinya kawasan itu boleh diwakili dan terpulanglah kepada pengundi untuk menentukan wakil mereka," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, Mubarak sedang menyiapkan bangunan enam tingkat di Sentul melalui Yayasan Mubarak yang dijangka menjana pendapatan sewaan kira-kira RM50,000 sebulan untuk membantu ahli-ahlinya tanpa terlalu bergantung kepada kerajaan.
Katanya, wujud tanggapan salah bahawa kesemua bekas wakil rakyat hidup selesa sedangkan terdapat bekas ADUN dan Ahli Parlimen yang kini bekerja sebagai pemandu teksi dan peniaga kecil demi kelangsungan hidup.
"Kita bukan pegawai kerajaan yang ada skim pencen 20 tahun. Ada ahli Mubarak yang masuk politik ketika muda, tak sempat dapat pencen guru, tentera atau perkhidmatan awam.
"Jadi kita kena ambil alih peranan membantu membaiki kedudukan mereka terutama dari segi kewangan," katanya.
Abdul Azizi menambah, perubahan landskap politik selepas 2018 menuntut Mubarak menjadi platform neutral yang memfokuskan soal kebajikan, pembangunan masyarakat dan perkongsian pengalaman, bukan medan persaingan ideologi.
"Dulu orang ingat Mubarak ini ‘BN sahaja’. Sekarang tidak. Kita menerima semua bekas wakil rakyat. Kita tak mahu lagi pertelingkahan politik dalam ruang ini. Dah bertahun orang berkempen, dah penat.
"Namun, masih ramai yang takut masuk Mubarak sebab risau tak dicalonkan semula. Itu salah. Banyak ahli kita yang pernah menjadi calon dan menang semasa masih bersama Mubarak," katanya.
Sementara itu, buku Tokoh Mubarak mendokumentasikan biografi 19 tokoh pelbagai kaum, termasuk pengasas, veteran negeri dan bekas wakil rakyat yang telah meninggal dunia.
Buku tersebut dihasilkan melalui kerjasama 10 pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan edisi kedua bakal diterbitkan selepas ini sebagai kesinambungan dokumentasi sejarah kepimpinan negara.
Ringkasan AI
- Mubarak mengusulkan agar kerajaan melalui SPR menyemak semula persempadanan kawasan Parlimen
- Terdapat jurang ketara jumlah pengundi antara beberapa negeri Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak
- Presiden Mubarak mengatakan kawasan Parlimen luar bandar patut diberi lebih perhatian kerana keluasan dan akses
- Usul ini akan dibawa kepada Majlis Perundingan Melayu untuk dibahaskan
- Mubarak menyiapkan bangunan untuk menjana pendapatan guna membantu ahli-ahlinya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

