Insiden kekecohan kereta: Polis tahan empat lelaki bantu siasatan

Kekecohan membabitkan pemandu sebuah kenderaan dengan beberapa individu di Jalan SBBC 3, Pekan Sungai Besar, Sabak Bernama pada petang Rabu.
Kekecohan membabitkan pemandu sebuah kenderaan dengan beberapa individu di Jalan SBBC 3, Pekan Sungai Besar, Sabak Bernama pada petang Rabu.
A
A
A

SABAK BERNAM - Empat lelaki ditahan susulan kejadian pergaduhan dan kekecohan yang tular di Jalan SBBC 3, Pekan Sungai Besar, di sini pada petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung insiden itu.

Menurutnya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Selain itu, polis turut menyiasat kes itu mengikut Seksyen 279 KK memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, semua empat lelaki tempatan itu berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.

"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada polis," tegas beliau.

Terdahulu, tular satu video berdurasi satu minit 36 saat di media sosial memaparkan beberapa individu berang dan bertindak agresif terhadap pemandu sebuah kereta.

Beberapa individu dilihat cuba memecahkan cermin semasa kenderaan terbabit cuba mengundur ke belakang.

Bagaimanapun, pemandu yang cuba mengundurkan kereta terbabit melanggar sebuah kereta lain di belakangnya sebelum memecut ke hadapan semula dan hampir melanggar kumpulan individu berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Kenderaan itu turut dilihat terbabas ke kaki lima premis perniagaan sebelum berjaya ditahan orang awam.

Ringkasan AI

  • Empat lelaki ditahan susulan pergaduhan di Jalan SBBC 3, Pekan Sungai Besar
  • Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan
  • Kes juga disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan
  • Video pergaduhan tular di media sosial memaparkan kekecohan terhadap pemandu kereta
  • Pemandu cuba mengundur kereta dan hampir melanggar kumpulan individu sebelum ditahan orang awam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!