Empat lelaki ditahan curi kabel bawah tanah di Kluang

KLUANG – Polis menahan empat lelaki dalam dua serbuan berasingan bulan lalu kerana terbabit dalam kegiatan mencuri kabel bawah tanah milik sebuah syarikat telekomunikasi yang menyebabkan kerugian berjumlah RM37,300.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, serbuan pertama dilakukan di Kampung Melayu, Kluang pada pukul 4.30 pagi, Selasa lalu.
“Serbuan ini membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an, manakala dua rakan sejenayahnya berjaya melarikan diri.
“Polis turut merampas sebuah kereta Mazda berwarna hitam, gulungan tali kuning, beberapa pemotong kabel berukuran antara 78 hingga 100 sentimeter, manhole key, serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk memecah masuk infrastruktur telekomunikasi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada Jumaat.

Jelas beliau, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku gagal mencuri kabel di Masai dan merancang untuk menyasarkan kawasan Kluang.
Katanya, suspek yang tidak bekerja itu berasal dari Felda Mawar, Pusat Bandar Jengka, Pahang dan mengaku aktif mencuri kabel di kawasan Temerloh dan Kuantan.
Serbuan kedua pula dilakukan pada 28 November lalu, kira-kira jam 3 petang, di sebuah kebun pisang di Jalan Kluang–Renggam.
“Polis berjaya menahan tiga lagi lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 33 tahun. Mereka berasal dari Taman Sri Kluang, Taman Muhibah dan Batu 1 ½, Jalan Renggam, dan disyaki terlibat dalam empat kes kecurian kabel di daerah ini,” ujarnya lagi.
Menurut Bahrin, polis turut merampas alat pemotong kulit kabel yang telah diubah suai, longgokan kabel tembaga, dawai besi, dua guni dawai besi, serta enam bilah pisau pelbagai saiz.
“Kumpulan ini dipercayai memperoleh keuntungan kira-kira RM10,000 hasil kegiatan mereka sejak awal tahun ini dengan menjual kabel berkenaan di kedai besi buruk di Subang dan Kuala Lumpur bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Semua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana merosakkan perkhidmatan komunikasi,” tambahnya.
Ringkasan AI
- Polis menahan empat lelaki kerana mencuri kabel bawah tanah milik syarikat telekomunikasi dengan kerugian RM37,300
- Serbuan pertama di Kampung Melayu, Kluang menahan seorang lelaki dan merampas beberapa peralatan termasuk kereta Mazda hitam
- Suspek dari Felda Mawar mengaku aktif mencuri kabel di Temerloh dan Kuantan
- Serbuan kedua di kebun pisang Jalan Kluang–Renggam menahan tiga lelaki yang terlibat dalam empat kes kecurian kabel
- Suspek mendapat keuntungan kira-kira RM10,000 dari menjual kabel curi dan semua mempunyai rekod jenayah dan dadah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

