Kekecohan kereta tercetus akibat hutang gagal dibayar - Polis

SABAK BERNAM - Punca sebenar kekecohan membabitkan tiga individu dan seorang pemandu kereta di Jalan SBBC 3, Pekan Sungai Besar, petang Rabu dipercayai daripada usaha menuntut hutang yang gagal diselesaikan.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 4.30 petang manakala laporan diterima pada jam 5.34 petang.
Menurutnya, tiga lelaki yang juga ahli keluarga (pemiutang) bertemu pemandu kereta terbabit bagi menuntut hutang, namun berlaku pertengkaran sehingga mendorong tindakan agresif.
“Keempat-empat lelaki warga tempatan terbabit berusia antara 31 hingga 53 tahun ditahan di lokasi kejadian antara jam 5.20 hingga 6 petang pada hari sama," katanya pada Khamis.
Dalam kejadian tular itu, pemandu kereta yang merupakan penghutang dilihat cuba melarikan diri dengan mengundur kenderaan hingga melanggar kereta lain sebelum memecut ke hadapan dan hampir melanggar kumpulan individu terbabit.
Md Yusof memberitahu, akibat insiden itu, tiga kereta mengalami kerosakan luaran selain kerosakan kecil pada kaki lima premis di lokasi kejadian.
Beliau berkata, laporan polis dibuat oleh anggota Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam selepas menerima makluman orang awam mengenai pergaduhan tersebut.
Md Yusof turut mengesahkan polis masih mengesan seorang lagi lelaki yang masih bebas bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan 279 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menimbulkan spekulasi dan menyerahkan siasatan lanjut kepada polis,” katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, empat lelaki ditahan susulan kejadian pergaduhan dan kekecohan yang tular di Jalan SBBC 3, Pekan Sungai Besar, di sini pada petang Rabu.
Ringkasan AI
- Kekecohan di Jalan SBBC 3, Pekan Sungai Besar berpunca dari usaha menuntut hutang
- Kejadian berlangsung kira-kira jam 4.30 petang dan laporan polis diterima jam 5.34 petang
- Tiga lelaki ahli keluarga menuntut hutang dari pemandu kereta berakhir dengan pertengkaran
- Empat lelaki warga tempatan, berusia 31 hingga 53 tahun, ditahan di lokasi kejadian
- Kejadian mengakibatkan kerosakan pada tiga kereta dan kaki lima premis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

