Inkues: Saksi berpendapat Zara Qairina terguris dengan kata makian pelajar A

Farrah bersama rakan sepasukannya semasa menghadiri inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner, Kota Kinabalu.
Farrah bersama rakan sepasukannya semasa menghadiri inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Saksi ke-53 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir berpendapat Allahyarham tidak terganggu akibat kata-kata makian daripada pelajar E, sebaliknya mungkin disebabkan kata-kata makian daripada pelajar A.

Bagaimanapun, Nur Shukriah Mohd Fauzi, yang juga guru di sekolah tempat Allahyarham bersekolah menyatakan beliau tiada bukti bertulis berkaitan perkara itu dan ia hanyalah keterangan lisan daripada seorang lagi pelajar.

Nur Shukriah menyatakan perkara itu ketika peguam, Farrah Nasser, menyinggung mengenai hasil laporan dan keterangan bertulis pelajar.

Dalam dokumen tersebut, jelas terlihat ada pelajar senior yang memarahi Zara Qairina sehingga dia menangis, selain turut dikepung oleh pelajar senior lain, dan situasi ini dilihat mengganggu emosi Allahyarham.

"Saya cuba cerita apa yang saya ingat, melalui keterangan saksi-saksi di A36, yang memaki hanyalah pelajar E dan pelajar-pelajar lain tidak terlibat dalam kata-kata ini," katanya semasa memberi keterangannya di Mahkamah Koroner di sini pada Rabu.

Farrah kemudian bertanya sama ada perbuatan makian daripada pelajar E yang menyebabkan Zara Qairina menangis pada malam kejadian juga boleh mengganggu emosi Allahyarham.

"Pendapat saya, pelajar E berkata sedemikian kerana didapati Arwah ada mengambil barang pelajar E tersebut dan ini pendapat saya saja, saya tak rasa Arwah terganggu pada ketika itu. Tapi mungkin dia terganggu oleh seseorang yang lain," katanya.

Diminta menjelaskan lebih lanjut, Nur Shukriah menyatakan pendapatnya bahawa 'seseorang yang lain' itu adalah pelajar A.

"Saya tiada bukti bertulis berkaitan ini hanya dapat keterangan lisan dari seorang pelajar yang mengatakan pada malam tersebut, pelajar A ada berkata dengan perkataan makian kepada Arwah dan pada saya kata-kata A lebih menguris hati Arwah.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak berani sebut risau disalah erti cuma saya boleh katakan, salah satu perkataan yang digunakan adalah makian," katanya.

Jelasnya lagi, pelajar yang memberikan keterangan itu tidak diambil keterangan bertulis kerana pihak sekolah tidak sempat bertemu dengan pelajar berkenaan.

"Untuk pelajar ini, kami tidak mengambil keterangan, yang kami tahu ketika berada di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kepayan saja.

"Kami tidak sempat bertemu dan mengambil keterangan bertulis pelajar ini kerana sudah diambil oleh polis," katanya.

Diminta menjelaskan sama ada pihak sekolah ada mengambil keterangan lisan terhadap pelajar tersebut, saksi mengatakan ia hanya diketahui selepas pelajar tersebut menceritakan apa yang berlaku pada malam kejadian tersebut.

"Ketika itu saya menghantar pelajar lain ke CIC. Jadi kami tanyalah 'kenapa kamu di sini', sebab setahu kami kamu tidak terlibat dalam kes ini. Jadi dia cakaplah, pelajar A ini, 'Ustazah malam itu, saya sedang mencari kasut untuk hoki esok pagi'. Jadi dia terlimpas (lalu) depan dorm A35, itulah dia terdengar pelajar A berkata sedemikian.

"Masa itu, Arwah masih ada dalam dorm. Cuma saya tak tahulah bagaimana perjalanan dari dia meminta gunting, adakah sebelum atau selepas pelajar A berkata sedemikian, itu saya tak dapat pastikan," katanya.

Sebelum itu, Farrah bersama rakan sepasukannya, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi dan Elhanan Jame hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues ini bagi mewakili Noraidah Lamat.

Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya.

Ringkasan AI

  • Saksi ke-53 percaya Zara Qairina mungkin terganggu oleh makian dari pelajar A bukannya pelajar E
  • Nur Shukriah, guru di sekolah Zara Qairina, tiada bukti bertulis hanya keterangan lisan dari pelajar lain
  • Keterangan menunjukkan Zara Qairina emosi terganggu setelah dimarahi dan dikepung oleh pelajar senior
  • Pendapat Nur Shukriah berdasarkan cerita pelajar yang mendengar makian pelajar A kepada Zara Qairina
  • Keterangan pelajar yang memberi maklumat tentang makian pelajar A tidak direkodkan secara bertulis oleh sekolah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!