Jagdeep tampil jelaskan punca mengamuk

Video tular yang memaparkan Jagdeep berang terhadap seorang kontraktor yang terlibat dengan kerja-kerja memotong pokok pada Selasa.
Video tular yang memaparkan Jagdeep berang terhadap seorang kontraktor yang terlibat dengan kerja-kerja memotong pokok pada Selasa.
A
A
A

GEORGE TOWN - Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo tampil menjelaskan klip video tular yang memaparkan beliau berang terhadap beberapa kontraktor yang menjalankan kerja-kerja mencantas pokok di kawasan Mount Pleasure, di sini sejak Selasa.

Menurutnya, tindakannya itu tercetus selepas mendapati, kedua-dua laluan utama di kawasan berkenaan disekat oleh dua kren besar, sekali gus menyebabkan ribuan penduduk di Sea Range Tower dan Seaview Garden terkandas.

Menurutnya, beliau telah menerima aduan daripada penduduk tempatan yang telah menghubungi pejabat saya untuk menyuarakan rungutan mereka.

"Malah seorang wanita yang berasa marah pula telah mengadu di depan saya dalam pejabat di Komtar untuk menyuarakan rasa tidak puas hati," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Jagdeep berkata, walaupun penutupan jalan itu perlu dilaksanakan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan kerja yang dijadualkan, namun kesan terhadap aliran trafik dan pergerakan harian orang ramai tidak diambil kira oleh kontrakor yang berkenaan.

Beliau turut mempersoalkan kesulitan dan bahaya yang boleh terjadi terutama kepada warga emas dan kanak-kanak yang tidak mempunyai pilihan selain berjalan di laluan berbukit sama ada untuk keluar atau pulang ke rumah mereka.

"Saya sendiri melalui situasi itu apabila dua anak saya terpaksa berjalan kaki kerana isteri saya tidak dapat mengeluarkan kenderaan untuk menjemput mereka pulang dari sekolah.

"Bagaimana pula dengan yang lain terutamanya warga emas? Bagaimana jika berlaku kecemasan dan ambulans tidak dapat mengakses jalan untuk sampai ke mangsa?," soalnya lagi.

Jagdeep menegaskan sebagai wakil rakyat, menjadi kewajipannya untuk bersuara apabila kehidupan rakyat terjejas.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagi pihak kerajaan negeri memohon maaf atas kesulitan yang dialami penduduk dan akan memastikan perkara seperti itu tidak akan berulang lagi.

Terdahulu, tular video berdurasi 39 saat di media sosial yang memaparkan pertengkaran mulut antara Jagdeep dengan seorang kontraktor.

Bagaimanapun, difahamkan keadaan tegang itu berjaya ditenangkan orang ramai yang turut berada di lokasi kejadian tidak lama kemudian.

Ringkasan AI

  • Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berang terhadap kontraktor apabila membuat sekatan dua laluan utama di Mount Pleasure menyebabkan penduduk terkandas
  • Sekatan jalan disebabkan kerja mencantas pokok tidak mengambil kira kesan ke atas aliran trafik dan pergerakan harian
  • Jagdeep menerima aduan penduduk tempatan dan seorang wanita yang menyatakan ketidakpuasan hati di pejabat beliau
  • Beliau menekankan kesukaran dan risiko keselamatan khususnya bagi warga emas dan kanak-kanak yang perlu berjalan di laluan berbukit
  • Jagdeep meminta maaf atas nama kerajaan negeri dan berjanji mengambil tindakan agar kejadian serupa tidak berulang lagi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!