'Pembinaan projek rumah kedai diluluskan ikut saluran ditetapkan' - MBPP

GEORGE TOWN - Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menegaskan semua proses kelulusan berkaitan projek pembangunan rumah kedai di Jalan Kampung Relau telah dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan, termasuk libat urus dengan pemilik lot berjiran serta penelitian teknikal oleh jabatan berkaitan.
MBPP dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan pemaju telah mengemukakan Permohonan Kebenaran Merancang pada 9 Jun 2016, diikuti proses notifikasi kepada 10 pemilik lot bersebelahan selaras Seksyen 21(6) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.
MBPP menjelaskan walaupun ruang bantahan dibuka, tiada bantahan diterima sehingga tempoh tamat.
"Proses kelulusan mengikut turutan permohonan itu diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (MJOSC) pada 21 Februari 2017 sebelum pelan bangunan diberi kelulusan pada 20 Oktober 2021, selepas semua jabatan teknikal memberikan ulasan lengkap.
"Kebenaran memulakan kerja bangunan (COW) pula diperoleh pada 15 Disember 2022, manakala Kajian Impak Lalu Lintas (TIA) bagi pembangunan tersebut telah pun diluluskan lebih awal pada 5 November 2015.
"Semua proses ini melalui penelitian teknikal, semakan syarat keselamatan serta pematuhan garis panduan sedia ada,"jelas MBPP.
Dalam pada itu, MBPP memaklumkan TIA menetapkan supaya jalan khidmat di hujung lot dihadang bagi mengelakkan laluan terus ke kawasan perumahan teres bersebelahan.
Selain itu, penghadang (guardrail) dicadangkan serta laluan keluar berasingan perlu disediakan bagi kegunaan rumah kedai.
Tambahnya, salah satu syarat lain ialah tingkat tiga rumah kedai hanya dibenarkan digunakan untuk tujuan kediaman sahaja.
"Semakan bangunan bersebelahan MBPP turut menjelaskan bahawa pelan pembangunan asal menunjukkan terdapat anjakan bangunan antara projek tersebut dan rumah teres bersebelahan.
"Namun, semakan mendapati pemilik kediaman bersebelahan telah membina struktur tanpa kebenaran pihak berkuasa.
"MBPP menegaskan bahawa semua kelulusan telah diproses secara teratur, mematuhi semua keperluan perundangan, garis panduan teknikal serta proses libat urus yang sewajarnya dengan pihak berkepentingan," jelas kenyataan itu.
Pada Selasa Sinar Harian melaporkan, Penduduk Taman Bukit Jambul di Jalan Kampung Relau, di sini menggesa MBPP mengambil tindakan segera menyelesaikan isu pembinaan deretan bangunan komersial berhampiran rumah mereka yang didakwa tidak mematuhi garis panduan pembangunan.
Mereka mendakwa pembinaan bangunan komersial itu akan mengancam keselamatan dan ketenteraman penduduk apabila lorong perumahan yang sebelum ini merupakan jalan mati yang dikatakan bakal dijadikan laluan utama.
Malah penduduk bimbang kawasan perumahan mereka akan menjadi sibuk terutama digunakan kenderaan berat setiap hari selain berisiko berlaku pelbagai masalah hingga menjejaskan kualiti hidup lebih 100 penduduk di situ.
Ringkasan AI
- MBPP menegaskan kelulusan projek pembangunan rumah kedai di Jalan Kampung Relau mengikut prosedur yang ditetapkan
- Permohonan Kebenaran Merancang oleh pemaju dibuat pada 9 Jun 2016 dengan proses notifikasi kepada pemilik lot bersebelahan
- Tiada bantahan diterima semasa ruang bantahan dibuka
- Kajian Impak Lalu Lintas (TIA) diluluskan pada 5 November 2015, memastikan jalan khidmat di hujung lot dihadang
- MBPP menyatakan semua kelulusan mematuhi keperluan perundangan dan garis panduan teknikal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

