Pertahan maruah perkhidmatan awam

PENDEDAHAN mengenai penahanan sejumlah kakitangan awam berjawatan dalam serbuan pihak berkuasa baru-baru ini sekali lagi menggamit perhatian rakyat terhadap isu integriti sektor itu.
Difahamkan dalam operasi di sebuah premis tertutup itu, beberapa individu memegang jawatan penting dalam jabatan kerajaan didapati berada di lokasi dan terlibat dalam aktiviti yang menimbulkan persoalan moral serta melanggar tata kelakuan perkhidmatan awam.
Walaupun siasatan lanjut masih berjalan, perkembangan ini menimbulkan persoalan lebih besar tentang tahap disiplin, etika serta tanggungjawab moral golongan yang memegang amanah perkhidmatan negara.
Malah, arahan meletakkan jawatan serta-merta di sebuah kementerian yang dikenakan terhadap seorang individu ditangkap dalam Ops Songsang itu disifatkan tindakan tegas yang tepat bagi memastikan integriti perkhidmatan awam terus terpelihara.
Sebagai penjawat awam, mereka terikat bukan sahaja dengan peraturan jabatan, malah terjamin di bawah sumpah untuk menjaga nama baik perkhidmatan awam.
Apa jua bentuk salah laku-sama ada melibatkan perhubungan terlarang, penyalahgunaan kuasa atau perlakuan yang menjejaskan reputasi jabatan, tidak boleh dipandang ringan.
Pada masa sama, episod ini harus menjadi peringatan tegas kepada semua kakitangan awam bahawa amanah yang dipikul bukan sekadar tugas rutin, tetapi melibatkan maruah perkhidmatan serta kepercayaan masyarakat.
Jabatan kerajaan perlu memperkukuh mekanisme pemantauan, mempertingkat modul integriti dan memperluas sokongan psikososial agar penjawat awam mempunyai landasan kukuh untuk mengekalkan keseimbangan antara tugas serta kehidupan peribadi.
Rakyat berhak melihat perkhidmatan awam yang bersih, profesional dan berkredibiliti.
Negara tidak boleh berterusan dibebani isu salah laku yang mencalarkan imej institusi.
Integriti bukan slogan, ia adalah tanggungjawab yang wajib dipikul oleh setiap individu yang mengangkat sumpah berkhidmat untuk Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
