Kesan tapak kaki buktikan laluan harimau dahan melintas - Perhilitan

Perhilitan tidak menolak kemungkinan kawasan perkampungan itu merupakan lokasi harimau dahan berkeliaran dan harimau dahan (Gambar kecil).
Perhilitan tidak menolak kemungkinan kawasan perkampungan itu merupakan lokasi harimau dahan berkeliaran dan harimau dahan (Gambar kecil).
A
A
A

KULIM – [DIKEMAS KINI] Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tidak menolak kemungkinan bahawa Kampung Selarong Panjang di sini merupakan laluan bagi harimau dahan melintas berdasarkan kesan tapak kaki yang dijumpai.

Pengarah Perhilitan Kedah, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, pandangan itu berdasarkan kesan tapak kaki yang pudar dan dipercayai milik harimau dahan yang dijumpai di sekitar kawasan kejadian, sebagaimana tular.

Menurutnya, kawasan hutan paling hampir dengan perkampungan itu ialah Hutan Simpan Ulu Paip berjarak sekitar enam kilometer (km) dan Hutan Simpan Kekal Gunung Inas sekitar 22 km.

“Kawasan ini juga dikelilingi kebun getah, dusun dan ladang sawit,” katanya.

Abdul Malek berkata demikian merujuk kepada laporan Sinar Harian mengenai kemunculan harimau yang menggemparkan penduduk kampung terbabit.

Bertindak atas maklumat itu, beliau bersama Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM) Jabatan Perhilitan Negeri Kedah turun padang ke lokasi kejadian sekitar jam 11.35 pagi Selasa untuk siasatan lanjut.

PERHILITAN membuat siasatan di lokasi kejadian.
PERHILITAN membuat siasatan di lokasi kejadian.

“Berdasarkan maklumat pengadu, dia nampak kelibat harimau sewaktu dalam perjalanan menaiki kenderaan balik ke rumah melalui Jalan Kampung Selarong-Mahang sekitar jam 2.30 pagi.

Artikel Berkaitan:

“Semasa siasatan dilakukan, tiada tanda-tanda kehadiran harimau melalui kawasan berkenaan namun tidak menolak kemungkinan kawasan ini juga merupakan lokasi harimau dahan berkeliaran,” jelasnya.

Beliau berkata, UKHM Kedah akan membuat pemantauan secara berkala di samping meluaskan kawasan pemantauan bagi mengenal pasti laluan dan mencerap kehadiran harimau di sekitar kawasan berkenaan.

“Pengadu juga dinasihatkan supaya memaklumkan kepada pihak jabatan sekiranya gangguan berulang,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan penduduk Kampung Selarong Panjang gempar dikejutkan dengan khabar angin yang tular melalui aplikasi media sosial berhubung kelibat seekor harimau belang yang dikatakan melintas kawasan perkampungan itu pada awal pagi Isnin.

Seorang penduduk berdekatan berkata, khabar angin terbabit mengejutkan ramai kerana sepanjang menetap di perkampungan tersebut, belum pernah terdengar insiden membabitkan haiwan mamalia itu muncul berhampiran rumah mereka.

Ringkasan AI

  • PERHILITAN tidak menolak kemungkinan Kampung Selarong Panjang merupakan laluan harimau dahan
  • Kesan tapak kaki harimau dahan dijumpai di sekitar kampung
  • Hutan Simpan Ulu Paip dan Hutan Simpan Kekal Gunung Inas berhampiran dengan perkampungan
  • Kawasan sekitar kampungan dikelilingi kebun getah, dusun dan ladang sawit
  • UKHM Kedah akan melakukan pemantauan berkala untuk mengenal pasti laluan dan kehadiran harimau

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!