Harimau dahan baham ternakan penduduk masuk perangkap

BESUT – Seekor harimau dahan yang dipercayai membaham haiwan ternakan penduduk berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu di Kampung Kelekok La, Hulu Besut di sini pada Khamis.
Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, aduan mengenai kehadiran haiwan liar itu diterima pada 2 Oktober lalu sebelum memasang perangkap di kawasan tersebut pada hari sama.
Menurutnya, perangkap berkenaan akhirnya mengena apabila seekor harimau dahan jantan yang dikesan masuk pada pagi Khamis.

"Harimau dahan jantan seberat 25 kilogram itu telah dikesan memasuki perangkap yang dipasang pada pagi semalam.
"Difahamkan haiwan itu sebelum ini telah membaham empat ekor ternakan milik penduduk iaitu seekor lembu dan tiga ekor kambing, " katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, harimau dahan atau nama saintifiknya neofelis nebulosa merupakan spesies yang jarang ditemui di negeri ini dan tangkapan tersebut merupakan kes kedua direkodkan di Terengganu tahun ini.
"Selepas pemeriksaan dilakukan, haiwan itu dilepaskan semula ke habitat asalnya bagi memastikan ia terus hidup mengikut kemandirian di kawasan semula jadinya," katanya.
Ringkasan AI
- Harimau dahan yang membaham haiwan ternakan penduduk berjaya ditangkap oleh Perhilitan Terengganu di Kampung Kelekok La, Hulu Besut
- Aduan mengenai kehadiran harimau dahan diterima pada 2 Oktober lalu dan perangkap dipasang hari yang sama
- Harimau dahan jantan seberat 25 kilogram itu dikesan memasuki perangkap pada pagi Khamis
- Harimau tersebut telah membaham empat ekor ternakan milik penduduk sebelum ditangkap
- Spesies harimau dahan merupakan spesies yang jarang ditemui di Terengganu dan selepas pemeriksaan, ia dilepaskan semula ke habitat asal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
