Bakal pengantin disambar, diheret buaya ke tengah sungai ketika menjala

Muhammad Zarith yang mengalami kecederaan parah pada lutut dan paha kiri berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
Muhammad Zarith yang mengalami kecederaan parah pada lutut dan paha kiri berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
A
A
A

TELUK INTAN – [DIKEMAS KINI] “ALLAH masih sayangkan saya, kalau tidak saya sudah menjadi arwah.”

Demikian luahan syukur seorang bakal pengantin, Muhammad Zarith Hafizi, 28, selepas terselamat daripada dibaham buaya ketika menjala di Kampung Sungai Buaya dekat Kampung Gajah, Sabtu lalu.

Dalam kejadian sekitar jam 9 pagi itu, Muhammad Zarith, yang bertugas sebagai juruukur, disambar dan diheret seekor buaya ke tengah sungai.

Bagaimanapun, dia terselamat selepas seorang rakan berjaya menarik tubuhnya naik ke tebing, melepaskan cengkaman reptilia itu.

“Masa itu saya sedang menarik jala sebelum menyedari kehadiran buaya di kaki.

"Tanpa sempat berbuat apa-apa, haiwan itu terus menyambar kaki saya masuk ke sungai. Gigitan buaya sangat kuat menyebabkan saya tak mampu melawan,” katanya.

Mangsa diserang buaya ketika menjala di Kampung Sungai Buaya dekat Kampung Gajah, Sabtu lalu.
Mangsa diserang buaya ketika menjala di Kampung Sungai Buaya dekat Kampung Gajah, Sabtu lalu.

Dalam situasi cemas itu, Muhammad Zarith sempat menjerit minta tolong sebelum rakannya menarik semula tubuhnya ke tebing.

Artikel Berkaitan:

Akibat kejadian, dia mengalami kecederaan parah pada lutut dan paha kiri, namun kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

“Kejadian berlaku terlalu pantas, hanya sekitar 15 saat. Syukurlah saya terselamat. Saya akan melangsungkan perkahwinan hujung bulan ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, kemunculan buaya itu mungkin berpunca daripada limpahan tali air berdekatan susulan banjir yang melanda kawasan sekitar.

Katanya, serangan terhadap manusia itu adalah pertama direkodkan di kawasan berkenaan.

“Kita telah melakukan pemantauan serta memasang papan tanda amaran bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berlaku.

"Laporan rasmi mengenai kejadian itu belum diterima daripada mangsa," katanya.

Sinar Harian difahamkan, kejadian berlaku di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran parit tali air yang bersambung dengan Sungai Perak.

Tahun lalu, tular penampakan buaya di kawasan berdekatan, namun tiada kejadian serangan dilaporkan.

Ringkasan AI

  • Muhammad Zarith Hafizi terselamat daripada disambar buaya ketika menjala di Kampung Sungai Buaya Dia diselamatkan oleh rakan yang menarik tubuhnya ke tebing Mengalami kecederaan parah pada lutut dan paha kiri dan kini dalam keadaan stabil selepas rawatan Serangan buaya itu mungkin berpunca dari limpahan tali air susulan banjir Pemasangan papan tanda amaran oleh PERHILITAN untuk mengelak kejadian sama berulang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!