Casa Kids Book terbit 21 buku bergambar kanak-kanak bertema kelestarian

SHAH ALAM – Sebuah penerbitan di bawah Big M Resources, Casa Kids Book memperkenalkan 21 buku bergambar kanak-kanak bertema kelestarian alam dan kesedaran sosial sebagai usaha menyemai nilai prihatin dalam kalangan generasi muda..
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada Projek Penerbitan Buku Bergambar Kanak-Kanak 2025 yang ditaja Yayasan Bursa Malaysia dengan kerjasama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Perbadanan Kota Buku (PKB).
Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Masdiana Muhamad berkata, projek diterajui penulis dan ilustrator berpengalaman, Mimi Saleh selaku pengarah projek itu mampu menjadi inspirasi kepada lebih ramai penulis.
"Saya dimaklumkan projek ini berjaya menarik penyertaan seramai 300 individu daripada pelbagai latar belakang termasuk orang kurang upaya (OKU).
"Menghasilkan buku bergambar kanak-kanak bukan tugas mudah kerana penulis perlu memiliki kreativiti dalam ilustrasi dan kemampuan menyampaikan mesej melalui visual.
"Sebab itu saya kagum dengan dedikasi, komitmen dan ketekunan semua pihak yang terlibat," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Buku Bergambar Kanak-kanak Casa Kids Book sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025, baru-baru ini.
Sementara itu sebahagian hasil jualan buku tersebut bakal disalurkan untuk pembelian alat bantu dengar bagi memberi manfaat kepada komuniti memerlukan.
Selaras agenda kelestarian, hampir 90 peratus sesi pembelajaran dan latihan dijalankan secara maya menggunakan aplikasi Zoom manakala bahan pembelajaran diberi dalam bentuk digital.
Pendekatan itu bukan sahaja mengurangkan jejak karbon, malah membuka peluang penyertaan inklusif dari dalam dan luar negara.
Sejak dilancarkan pada Mei 2025, program berbentuk inkubator itu menyediakan pelbagai bengkel penulisan, ilustrasi serta perkongsian ilmu berkaitan kesedaran sosial dan alam sekitar.
Pada Julai lalu, sebanyak enam sesi dianjurkan merangkumi bengkel penulisan dan ilustrasi, selain sesi ilmiah bersama pakar industri.
Daripada 109 manuskrip diterima pada peringkat awal, seramai 39 peserta dipilih menyertai BookCamp pada Ogos lalu untuk menerima bimbingan mentor editorial dalam memurnikan naskhah masing-masing.
Saringan lanjut kemudian memilih 18 buku bergambar kanak-kanak untuk diterbitkan di bawah Casa Kids Book.
Selain itu, tiga judul khas turut dihasilkan untuk Bursa Malaysia yang memberi tumpuan kepada topik kelestarian, pelaburan dan peranan syarikat itu dalam memupuk masyarakat khususnya kanak-kanak untuk celik kewangan serta bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

