Permohonan Skim Smart Sewa tunggu kelulusan - Borhan

SHAH ALAM - Semua 19 penduduk terlibat isu perobohan rumah dan pengambilan tanah projek Seksyen 3 Lebuhraya Pantai Barat (WCE) di Kampung Jawa, Klang telah memohon kemasukan ke Skim Smart Sewa yang ditawarkan kerajaan Selangor.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, bagaimanapun proses itu masih bergantung kepada prosedur kelulusan dan syarat sewaan ditetapkan kerajaan negeri.
Beliau menjelaskan, walaupun kerajaan negeri bersedia menyediakan unit Smart Sewa sebagai penempatan sementara, penduduk tetap perlu mematuhi syarat asas termasuk bayaran deposit dan kadar sewaan.
"Semua penduduk sudah mohon Skim Smart Sewa, tapi untuk masuk mereka perlu ikut prosedur," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Majlis Pemberian Bantuan Projek Skim Ceria Tahun 2025 di sini pada Selasa.
Ujar beliau, penduduk terlibat meminta supaya perkara itu dipercepatkan dan diuruskan segera oleh kerajaan negeri.
Bagaimanapun tegas beliau, perkara itu perlu diperhalusi kerana permintaan menanggung sewa selama setahun membabitkan kos hampir RM200,000 jika melibatkan kesemua 19 keluarga.
“Pada saya, rumah sementara tidak perlu sampai setahun, sebaliknya hanya enam bulan pun sudah memadai," jelas beliau.

Beliau memberitahu, semua unit Smart Sewa ditawarkan berada dalam lingkungan kurang 10 kilometer dari kampung berkenaan dengan empat lokasi pilihan termasuk unit berfasiliti kolam renang yang disewa pada kadar RM900 sebulan.
"Setakat ini, walaupun semua sudah memohon, belum ada penduduk yang masuk ke unit Smart Sewa tersebut," katanya.
Borhan menegaskan, hanya pemilik sah layak dipertimbangkan bagi kemasukan ke Smart Sewa dan kerajaan negeri tidak membenarkan unit itu disewakan kepada pihak lain terutama warga asing.
Mengulas perkembangan keseluruhan isu itu, Borhan menjelaskan, kerajaan negeri sudah memberi banyak ruang termasuk beberapa kali menangguhkan arahan pengosongan, namun proses itu berlarutan kerana permintaan penduduk.
Menurutnya, pengambilan tanah mengikut prosedur dan bayaran pampasan 75 peratus telah dibuat.
"Penangguhan terakhir diberikan selepas penduduk memfailkan injunksi, namun ia ditolak mahkamah.
"Hari ini (Selasa) tiada apa-apa insiden, malah saya sendiri pantau dari pagi dan semuanya lancar,” katanya.
Beliau memaklumkan, daripada keseluruhan 1.92 hektar tanah, hanya 0.72 hektar digunakan untuk jajaran WCE.
"Baki 3 ekar (1.2 hektar) akan dikembalikan kepada pemilik dengan geran baharu dan boleh dipohon untuk dinaik taraf penggunaan," tambah beliau.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, konflik antara penduduk Kampung Jawa dan projek Seksyen 3 WCE yang berlarutan hampir enam tahun akhirnya berakhir apabila kerja-kerja perobohan kediaman dilakukan dalam keadaan aman pada Selasa.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, sebanyak 19 rumah di kawasan seluas 0.73 hektar itu mula dirobohkan seawal jam 8 pagi.
Ringkasan AI
- Semua 19 penduduk terlibat isu perobohan rumah di Kampung Jawa, Klang telah memohon kemasukan ke Skim Smart Sewa Selangor
- Proses kemasukan ke Skim Smart Sewa bergantung kepada prosedur kelulusan dan syarat sewaan kerajaan negeri
- Penduduk perlu mematuhi syarat asas termasuk bayaran deposit dan kadar sewaan untuk unit Smart Sewa
- Kerajaan negeri sudah memberi banyak ruang dan menangguhkan arahan pengosongan berkali-kali
- Daripada 1.92 hektar tanah yang terlibat, hanya 0.72 hektar digunakan untuk projek WCE dan baki 1.2 hektar akan dikembalikan kepada pemilik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

